Ekovest beli tanah 39 hektar di Pulai, Johor hampir RM1 bilion | DagangNews Skip to main content

Ekovest beli tanah 39 hektar di Pulai, Johor hampir RM1 bilion

 

KUALA LUMPUR 6 April -- Subsidiari milik penuh Ekovest Bhd, Timur Terang Sdn Bhd bercadang membeli 20 petak tanah pembangunan pegangan bebas berkeluasan 38.96 hektar di Pulai, Johor daripada Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd (IWH) dengan harga RM944.62 juta.

 

Ekovest dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata cadangan pengambilalihan itu akan dibuat melalui terbitan 911,323,376 saham keutamaan boleh tukar tidak boleh tebus (ICPS) baharu dalam Ekovest pada harga terbitan 85 sen bagi setiap ICPS dan RM170 juta secara tunai. 

 

"Cadangan pengambilalihan ini akan membolehkan kumpulan mengembangkan simpanan tanahnya kepada kira-kira 133.14 hektar berbanding 94.29 hektar sekarang dan meningkatkan kehadirannya di Iskandar Malaysia, yang merupakan salah satu daripada tiga wilayah ekonomi utama negara," katanya, menurut laporan Bernama.

 

Lembaga pengarah Ekovest menjangkakan projek infrastruktur pemangkin di Johor seperti cadangan Sistem Transit Aliran Johor-Bahru-Singapura dan Transit Aliran Bas akan merangsang pelaburan di Iskandar Malaysia.

 

"Lembaga pengarah percaya bahawa cadangan pengambilalihan itu akan memberi peluang yang baik kepada kumpulan. Ia juga  yakin  pembangunan masa depan tanah itu dijangka  akan menyumbang secara positif kepada pendapatan masa depan kumpulan dalam jangka masa sederhana hingga panjang selain menyampaikan pertumbuhan mampan kepada kumpulan sekiranya komponen pembangunan di atas tanah itu dirancang dengan baik," katanya.  - DagangNews.com