[EKSKLUSIF] Anchanto tawar 3 platform bantu e-dagang | DagangNews Skip to main content

[EKSKLUSIF] Anchanto tawar 3 platform bantu e-dagang

SelluSeller Anchanto

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 12 Okt. - Landskap e-dagang di Malaysia semakin berkembang pesat dan luar biasa berbanding negara-negara lain di Asia Tenggara.

Pertumbuhan e-dagang dilihat semakin membangun dalam aspek infrastruktur, jaringan internet yang unggul dan sistem pembayaran yang stabil

Melihat kepada senario berkenaan, syarikat pengurusan business-to-business (B2B) di peringkat global, Anchanto tampil menawarkan tiga platform dan perkhidmatan untuk membantu memantapkan lagi operasi e-dagang di negara ini.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Vaibhav Dabhade berkata, kelebihan teknologi yang dimiliki pihaknya dapat membantu perniagaan memanfaatkan ledakan e-dagang di Malaysia.

"Teknologi dan platform kami dibangunkan berdasarkan kepada pengalaman kami sendiri semasa menguruskan gudang dan operasi e-dagang untuk pelbagai jenama di rantau ini.

"Bersama dengan pihak penjual, peruncit, jenama dan pengedar, kami juga membantu logistik pihak ketiga dan perkhidmatan pos yang diuruskan dengan berjaya melalui platform SaaS, SelluSeller dan Wareo kami," jelasnya kepada DagangNews.com.

Vaibhav Dabhade
Vaibhav Dabhade

 

Platform SaaS yang ditawarkan adalah lebih daripada sekadar langganan, sebaliknya menyediakan proses 'Solution Blueprint' kepada setiap pelanggan.

Platform tersebut turut melibatkan perunding produk dan pakar daripada pihaknya untuk berkerjasama dengan semua pihak berkepentingan bagi menghasilkan penyelesaian inovatif khusus untuk sesebuah perniagaan.

"Setelah kami laksanakan 'blueprint', kami akan menjalankan analisis fit-gap dan kemudiannya kami akan memberi latihan dan pelaksanaan yang menyeluruh hingga pelanggan kami dapat mencapai kejayaan yang mereka inginkan.

"Pasukan tempatan (Malaysia) kami dan pengurusan akaun akan turun padang untuk membantu pelanggan kami, kami memberikan perkhidmatan yang lebih spesifik kepada mereka semua," jelasnya.

Platform kedua yang disediakan adalah SelluSeller yang dapat membantu perniagaan dengan memudahkan serta mengautomatikkan operasi e-dagang mereka.

Aspek operasi bahagian belakang yang disediakan merangkumi inventori, pesanan, harga, promosi, data penjualan, laporan, katalog, aset digital dan pelbagai lagi hanya dalam satu platform.

Platform berkenaan juga disepadukan dengan lebih 100 pasaran e-dagang, kedai web, perakaunan, SAP dan lain-lain yang dapat mambantu perniagaan memanfaatkan keseimbangan teknologi dan integrasi.

Selain itu, platform ketiga yang turut disediakan oleh Anchanto ialah Wareo yang merupakan sistem pengurusan gudang lengkap bagi pengurusan gudang e-dagang (B2C) atau perniagaan runcit (B2B).

"Melalui platform Wareo, syarikat akan menerima, memproses dan memenuhi pesanan yang diterima secara terus dari gudang mereka. - DagangNews.com