Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 12 Dis. - Tahap capaian internet yang ditawarkan oleh syarikat telekomunikasi atau telco di negara ini perlu seiring dengan permintaan masyarakat dalam tempoh norma baharu.
Perkara tersebut adalah untuk memenuhi permintaan masyarakat yang lebih kerap menggunakan internet untuk melakukan aktiviti harian seperti bekerja, belajar, berkomunikasi dan membeli-belah secara dalam talian susulan penularan wabak COVID-19.
Ketua Yoodo, Chow Tuck Mun berkata, syarikat telco perlu mencari jalan untuk memenuhi permintaan tersebut selain menjangkakan keperluan lain dalam tempoh norma baharu.
"Dengan kes COVID-19 yang sedang mencecah empat angka, semakin ramai memilih untuk bekerja, belajar, dan membeli-belah secara dalam talian untuk kekal selamat.
"Oleh sebab itu, permintaan untuk liputan internet yang lebih stabil dan meluas terus meningkat.
"Syarikat telekomunikasi di negara perlu terus mencari jalan untuk memenuhi permintaan ini dan juga menjangkakan keperluan pengguna dalam norma baharu untuk memenuhi perubahan kehendak mereka dengan sewajarnya," katanya kepada DagangNews.com dalam satu wawancara eksklusif.
Yoodo adalah salah satu penyedia perkhidmatan mudah alih yang dikuasakan oleh Celcom dan menggunakan 100% pendekatan digital berbanding syarikat telco lain.
Ditanya berkaitan cabaran yang dihadapi oleh syarikat telco dalam tempoh PKP, beliau memberitahu, industri telekomunikasi berdepan dengan cabaran yang berbeza berbanding industri lain yang mengalami kemerosotan pendapatan dan lain-lain.
Ujarnya, syarikat telco bergelut untuk memastikan infrastruktur dan perkhidmatan masing-masing dapat memenuhi permintaan tambahan daripada masyarakat.
"Bagi kebanyakan telco, prospek membina pangkalan pengguna ketika PKP juga merupakan satu cabaran. Oleh kerana telco konvensional yang memerlukan pengguna membuat pendaftaran di kedai atau secara bersemuka, sekatan di bawah PKP menjadikannya agak sukar untuk mendapatkan pengguna baharu.
"Namun, ini bukanlah masalah bagi Yoodo kerana kami telah membangunkan ekosistem digital yang mantap yang membolehkan pengguna baharu mendaftar dan menggunakan Yoodo dari rumah mereka sendiri," ujarnya lagi.
Tambah beliau, kehadiran COVID-19 telah mempercepatkan pendigital dalam industri telekomunikasi yang sebelum ini hanya selesa dengan kaedah perniagaan konvensional.
Pandemik tersebut telah memaksa seluruh industri untuk memikirkan semula pendekatan selain mementingkan proses pendigitalan dalam proses perniagaan masing-masing.
"Pada masa ini, anda boleh melihat lebih banyak syarikat menawarkan perkhidmatan pendaftaran secara dalam talian atau digital yang mana telah ditawarkan oleh Yoodo sejak 2018 lagi.
"Ini merupakan satu pendekatan yang bagus kerana industri kini sedang menggunakan atau mencari kaedah yang lebih inovatif dan saya percaya ini pastinya memberi manfaat kepada industri dan pengguna," jelas beliau lagi.
Beliau bagaimanapun percaya, industri telco akan kekal dan terus maju ke hadapan dalam tempoh norma baharu ini.
Perkara itu perlu diseiringkan dengan penciptaan lebih banyak inovasi dan fleksibiliti dalam bidang berkenaan.
Syarikat telco juga akan mempunyai lebih banyak tanggungjawab sosial dan peranan penting bagi menghubungkan pelanggan yang menhadapi masa-masa sukar. - DagangNews.com