Alvin Yuan
Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 16 Dis. -Transformasi digital dalam setiap perkhidmatan, terutamanya melibatkan pergerakan pekerja tidak dinafikan menawarkan impak kewangan yang lebih baik.
Ini antaranya pengurangan kos tinggi, di samping menjimatkan masa untuk semua pihak dalam melaksanakan tugas masing-masing.
Apatah lagi pandemik COVID-19 telah mencetuskan lonjakan peralihan digital besar-besaran menjadikan ‘serba-serbi’ aspek perlu cakna untuk menerapkan pembaharuan teknologi berkenaan.
Penggunaan digital dalam e-perdagangan, penghantaran dan pembuatan telah lama diadaptasi , namun penjagaan kesihatan pekerja di hujung jari wajar diteroka seiring kebiasaan baharu pandemik COVID-19.
Salah sebuah syarikat perintis yang menawarkan aplikasi digital kesihatan pekerja di Malaysia, HealthMetrics Sdn. Bhd. melihat peluang dalam industri itu terus berkembang dengan potensi pasaran yang belum diteroka adalah sangat luas.
Membantu perniagaan menguruskan faedah kesihatan bagi pekerja mereka secara digital, aplikasi HealthMetrics merupakan sebahagian daripada ekosistem berkenaan dan telah mula digunakan pada tahun 2017.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif HealthMetrics, Alvin Yuan, HealthMetrics menyediakan ekosistem menyeluruh yang menghubungkan pelanggan mereka kepada lebih 3000 rakan penjagaan kesihatan seluruh Malaysia menerusi platform awan (cloud platform) secara digital.
Katanya, HealthMetrics secara web progressive (PWA) yang boleh diakses menerusi mudah alih atau sebarang pelayar web memudahkan pengguna yang dilindungi seperti pekerja dan tanggungan mereka bagi mendapatkan rawatan serta mendapatkan maklumat secara terus.
“Antara fungsi yang terdapat dalam aplikasi ini turut termasuk peta yang menunjukkan rakan penjagaan kesihatan kami yang terdekat yang dibenarkan oleh pentadbir korporat, fungsi carian bagi penyedia kesihatan yang tertentu, serta maklumat berkaitan klinik.
"HealthMetrics menyediakan ekosistem menyeluruh yang menghubungkan pelanggan mereka kepada lebih 3000 rakan penjagaan kesihatan seluruh Malaysia menerusi platform awan (cloud platform) secara digital."
“Antara maklumat yang tersedia adalah masa perkhidmatan klinik, alamat, nombor telefon, ketersediaan doktor wanita atau perkhidmatan khusus yang ditawarkan seperti x-ray.
“Fungsi lain yang terdapat dalam aplikasi ini adalah maklumat pengguna seperti faedah yang ditanggung oleh majikan, informasi lawatan ke klinik sebelumnya serta sijil cuti sakit digital yang pernah diterima oleh pekerja,” kata Yuan kepada DagangNews.com.
Setakat ini, HealthMetrics telah meraih lebih 1000 syarikat korporat yang menggunakan perkhidmatannya dan pengguna aplikasi bertambah dari semasa ke semasa.
Pandangan skeptikal terhadap platform kesihatan digital
Aplikasi digital yang memudahkan urusan penjagaan kesihatan pekerja mungkin kedengaran asing apabila idea platform HealthMetrics mula dibangunkan.
Yuan tidak menafikan berdepan cabaran sepanjang menguruskan HealthMetrics, antaranya melakukan perubahan sikap terhadap cara kerja dan proses yang tidak cekap.
Mendedahkan kepada DagangNews.com, Yuan berkata, pada mulanya banyak organisasi yang agak skeptikal terhadap proses digital yang diperkenalkan syarikatnya.
Namun setelah melihat impak positif yang dapat dicapai apabila dilaksanakan telah membuka mata banyak pihak terhadap perkhidmatan HealthMetrics, kongsi Yuan.
"Banyak organisasi yang agak skeptikal terhadap proses digital yang diperkenalkan."
“Potensi ini turut diserlahkan dengan pandemik COVID-19 ketika ini yang menyebabkan transformasi digital dapat dilakukan dengan lebih cepat dalam banyak organisasi di Malaysia.
“Visi HealthMetrics adalah untuk menyediakan sebuah platform yang menyeluruh agar penjagaan kesihatan dapat diakses oleh semua organisasi.
“HealthMetrics juga mempunyai misi untuk menyusun data perubatan yang kompleks dan mentransformasikan data ini sebagai maklumat yang boleh digunakan oleh organisasi untuk memahami status kesihatan ahli mereka,” kata Yuan.
HealthMetrics tembusi sektor kerajaan, pasaran antarabangsa
Dalam usaha untuk melebarkan sayap perniagaannya, HealthMetrics dalam perbincangan awal bersama-sama pihak kerajaan untuk mencapai matlamat sama bagi membina ekosistem kesihatan yang lebih cekap dan holistik.
Malah, kata Yuan, perkhidmatan HealthMetrics kini digunakan oleh pelbagai syarikat yang turut termasuk syarikat dan perbadanan milik kerajaan serta terlibat secara aktif dalam khidmat sosial korporat.
“Perkara ini seiring dengan saranan kerajaan bagi syarikat swasta untuk bergabung dengan entiti kerajaan dalam memastikan ekosistem kesihatan yang lebih baik untuk rakyat Malaysia,” jelas Yuan.
Dalam masa sama, HealthMetrics menghormati pendirian kerajaan bagi peruntukan perubatan dalam Belanjawan 2021 baru-baru ini, dengan mengambil kira cabaran pandemik yang masih berlangsung.
“Kami bakal melebarkan sayap ke Singapura tidak lama lagi bagi membantu memberi penyelesaian digital yang lebih cekap untuk negara republik tersebut."
“Sebagai sebuah syarikat teknologi, kami menyarankan pelaksanaan tugas yang lebih cekap dengan menggunakan proses digital bagi mengurangkan kos. Perkara ini boleh diaplikasikan kepada penjagaan kesihatan yang merupakan keperluan asas kepada masyarakat.
“Antara saranan yang boleh dipraktikkan bagi mengurangkan kos dan beban tenaga kerja awam adalah dengan menjalankan kaedah triaj atau saringan awal secara maya.
"Kaedah ini membantu menyaring kedatangan pesakit sebelum datang ke hospital, yang boleh digantikan dengan rawatan di klinik kesihatan sahaja seperti yang dilaksanakan di United Kingdom oleh National Healthcare Service (NHS),” kata Yuan yang turut menyarankan sistem seperti teleperubatan boleh membantu pihak kerajaan dalam memberi perkhidmatan yang lebih cekap dan bersasar kepada rakyat Malaysia.
Di peringkat antarabangsa, HealthMetrics sedang dalam perancangan untuk mengembangkan perniagaan mereka ke peringkat global dengan fokus kepada pasaran serantau di Asia Tenggara.
“Kami bakal melebarkan sayap ke Singapura tidak lama lagi bagi membantu memberi penyelesaian digital yang lebih cekap untuk negara republik tersebut,” jelas Yuan. - DagangNews.com