(EKSKLUSIF) Majlis Perumahan Mampu Milik Negara mesti selidik mendalam isu rumah kos murah – Knight Frank | DagangNews Skip to main content

(EKSKLUSIF) Majlis Perumahan Mampu Milik Negara mesti selidik mendalam isu rumah kos murah – Knight Frank

Perumahan mampu milik tidak boleh dibangunkan di tempat sembarangan, dimana tiada akses kepada pekerjaan. - Gambar Ardy Alfred
Oleh MOHAMED MD DOM

KUALA LUMPUR 28 Feb – Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN) harus menyelidik isu perumahan kos murah dan punca permasalahan rumah mahal hingga ke akar umbi sebelum meletakkan matlamat menyediakan rumah bagi setiap keluarga Malaysia.

 

Pengarah Eksekutif Penyelidikan dan Perundingan Knight Frank Malaysia, Amy Wong berkata, matlamat MPMNN harus jelas, sama ada ia mahu menyediakan tempat perlindungan atau mempromosikan pemilikan rumah.

 

Beliau berkata, MPMNN harus mengambil kira kadar statistik kadar gelandangan.

 

"Seterusnya jika MPMNN mahu memfokuskan terhadap pemilikan rumah, sudahkah kita menganalisis apa yang salah tentang penyediaan rumah kos rendah yang disediakan pemaju yang diperkenalkan mula-mula dahulu?

 

‘’Bagaimana keadaan berubah sejak pelbagai pilihan rumah mampu milik yang telah dilancarkan sedekad yang lalu?," beliau memberitahu DagangNews di sini hari ini.

 

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 11 Februari lalu, mesyuarat MPNNN yang dipengerusikannya telah meminta Bank Negara melihat kembali model pem­biayaan perumahan supa­ya memudahkan pemilikan pe­rumahan bagi memastikan ins­titusi kewangan mem­permudahkan pinjaman untuk B40 dan M40 membeli rumah program perumahan rakyat (PPR) dan rumah mampu milik.

 

Wong berkata, tidak semua rakyat Malaysia perlu memiliki rumah kediaman, tetapi semua mesti mempunyai rumah sebagai tempat berlindung, dan pelbagai faktor harus diambil kira termasuklah lokasi pembinaan perumahan mampu milik dan jarak ke tempat kerja.

 

Menurut Kertas Polisi No 61 – Pasaran Hartanah Malaysia: Mampu Milik dan Dasar Perumahan Negara terbitan IDEAS , isu keterjangkauan adalah sesuatu yang kompleks, ia tidak boleh dilihat hanya menerusi nisbah antara median harga rumah dan median pendapatan kerana ia boleh mengelirukan.

 

Sebaliknya kata beliau, untuk menentukan apa yang mampu dimiliki melibatkan tiga elemen iaitu harga, keluasan lantai dan lokasi.

 

amy wong
                                                 AMY WONG

 


Wong menegaskan bahawa idea untuk mewujudkan semula MPMNN adalah langkah yang baik, tetapi rakyat juga mahukan lebih banyak maklumat yang jelas disalurkan mengenai agensi mana yang membentuk MPMNN – sama ada ia melibatkan atau tidak agensi rumah mampu milik lain seperti PR1MA, SPNB, PPA1M, PPRT, dan lain-lain.

 

"Kejelasan mengenai kuasa dan pengaruh Majlis ini bergantung kepada kuasa yang diberikan kepadanya berbanding pengurusan agensi lain yang serupa," kata beliau lagi.

 

Wong turut menegaskan bahawa perumahan mampu milik tidak boleh dibangunkan di tempat sembarangan, dimana tiada akses kepada pekerjaan.

 

B40 dan M40 mesti tinggal berdekatan dengan tempat kerja, jadi soalan seterusnya yang perlu ditanya ialah di manakah pihak Majlis akan mendapatkan tanah untuk membina unit rumah mampu milik ini?

 

"Ini juga sebab saya menyokong rancangan pertumbuhan infrastruktur kereta api di bandar – kerana laluan kereta api seperti MRT, LRT, dan lain-lain memudahkan B40 dan M40 untuk berulang-alik ke tempat kerja dan masih tinggal di lokasi yang bersesuaian, yang biasanya di pinggir bandar,’’ katanya.

 

Kaji selidik Institut Penyelidikan Khazanah melaporkan bahawa penggunaan Pengangkutan Awam Darat (LPT) di Greater Kuala Lumpur kekal rendah di bawah 20%, jika dibandingkan dengan bandar-bandar antarabangsa yang lain seperti Hong Kong (90%), Singapura (63%) atau London (55%).


 

PM

 


"Terdapat banyak sebab mengapa rakyat Malaysia sangat bergantung kepada kenderaan persendirian, dan antara perkara yag dihujahkan ialah Malaysia lebih cenderung kepada pemilikan kereta, dengan penekanan kerajaan untuk membangunkan industri pembuatan automotif Malaysia.

 

‘’Lebih-lebih lagi, sering dipertikaikan bahawa Sistem Pengangkutan Awam mempunyai isu-isu yang telah lama berlarutan daripada sambungan jarak jauh yang lemah kepada ketidakpercayaan terhadap bas pengantara dan perkhidmatan KTM yangyang menjurus kepada kelemahan sistem pengangkutan awam negara," laporan itu berkata.

 

Mengenai matlamat kerajaan membina 500,000 rumah seperti yang tertera dalam Rancangan Malaysia ke-12, Wong berkata persoalannya bukanlah sama ada boleh membina setengah juta rumah dalam masa empat tahun atau tidak, tetapi sama ada pembinaan rumah mampu milik dibina di lokasi yang sesuai dan boleh diakses atau tidak.

 

"Fakta dari Jabatan Penilaian Dan Perkhidmatan Harta menyatakan bahawa pada masa kini Malaysia mempunyai 1.5 juta unit rumah kos rendah dan menyumbang kira-kira 25% daripada jumlah unit rumah di negara ini.

 

‘’Adakah semua unit ini diduduki? Jika tidak, mengapa? Majlis harus mempelajari beberapa petua dan pengajaran daripada inisiatif rumah kos rendah/ mampu milik sebelum ini, dan tidak mengulangi kesilapan yang sama. Jika tidak, kitaran yang sama akan berulang," ujar beliau. – DagangNews.com