[EKSKLUSIF] Moovby tembusi Filipina dan Vietnam menjelang 3Q21 | DagangNews Skip to main content

[EKSKLUSIF] Moovby tembusi Filipina dan Vietnam menjelang 3Q21

Moovby

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 6 Okt. - Peneraju platform perkongsian kereta peer-to-peer (P2P), Moovby bakal meluaskan perkhidmatannya di dua negara lain iaitu Filipina dan Vietnam menjelang suku ketiga 2021.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nik Muhammad Amin Nik Muhammad Kamil berkata, perkara tersebut adalah inisiatif berterusan pihaknya untuk terus membawa platform Moovby ke peringkat antarabangsa.

"Kami telah berjaya luaskan Moovby ke Indonesia pada Mei 2019. Dan untuk perancangan akan datang, Moovby akan dilancarkan di Filipina dan Vietnam pada suku ketiga 2021.

"Kedua-dua negara itu mempunyai peluang pasaran yang cukup besar dan kami mahu jadi platform pertama yang menjalankan perkhidmatan perkongsian kereta P2P di kedua-dua negara berkenaan.

"Kami dah ada rakan kongsi di negera berkenaan dan pastinya kami mengharapkan peluang yang lebih eksklusif dan padu di sana," katanya dlam temu bual eksklusif bersama DagangNews.com. 

Nik Muhammad Amin Nik Muhammad Kamil
Nik Muhammad Amin Nik Muhammad Kamil

 

Moovby adalah platform perkongsian kereta persendirian peer-to-peer (P2P) yang membolehkan pengguna menyewa kenderaan daripada pemilik kenderaan yang berdekatan.

Mula dilancarkan di Malaysia pada 2017 di Kuala Lumpur, Moovby telah berjaya meluaskan jaringan perkhidmatan hampir ke semua negeri di negara ini.

Dengan pelancaran di Indonesia pada 2019, platform tersebut telah meluaskan aksesnya di beberapa bandar seperti Jakarta, Bandung, Bali Bogor dan sebagainya. 

Moovby menyediakan hampir 290 jenis kenderaan untuk dipilih dan disewa mengikut kesesuaian pengguna.

Platform tersebut kini telah berjaya merekodkan sebanyak 100,000 pengguna dan 8,000 kenderaan yang berdaftar di bawah platform berkenaan.

Tambah baliau, Moovby pada Julai 2020 telah melantik Datuk Seri Syed Zainal Abidin sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif di Moovby bagi memantapkan lagi pengoperasian dan pengurusan syarikat.

Syed Zainal Abidin adalah individu yang tidak asing lagi dalam dunia automotif dengan pengalaman luas bersama Perodua Auto Corporation Sdn. Bhd., Hicom Holding Berhad, Petroliam Nasional Berhad dan PROTON Holdings Berhad.

Baca: Datuk Seri Syed Zainal Abidin dilantik Pengerusi Bukan Eksekutif P2P Moovby

"Kami teruja dan rendah hati diberikan peluang untuk mendapatkan bimbingan Datuk Seri dalam memajukan syarikat ini.

"Kami percaya dengan pengalaman yang ada pada beliau (Syed Zainal Abidin) akan dapat membentuk Moovby sebagai sebuah syarikat yang lebih cekap dan lebih berdaya saing di negara-negara lain," tambahnya. - DagangNews.com