(EKSKLUSIF) SOP larang `dine-in' jejas teruk sektor F&B - MRCA | DagangNews Skip to main content

(EKSKLUSIF) SOP larang `dine-in' jejas teruk sektor F&B - MRCA

Oleh TENGKU NOOR SHAMSIAH TENGKU ABDULLAH
editor@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 27 Ogos  – Persatuan Rantaian Peruncit Malaysia (MRCA) meminta kerajaan mempertimbangkan semula larangan duduk makan atau dine-in, sedangkan kluster dari premis makanan hanya 1% yang direkodkan oleh Kementerian Kesihatan. 

 

Ketua Bahagian F&B (Makanan dan Minuman) MRCA, Datuk Seri Garry K.S. Chua berkata, walaupun kerajaan telah membuka beberapa sektor tetapi duduk makan selalu jadi `sasaran' setiap kali pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

 

''Sedih, saya tidak tahu mengapa duduk makan atau `dine-in’ yang merupakan salah satu daripada F&B, selalu menjadi sasaran  setiap kali  PKP dikenakan.

 

''Dengan tidak membenarkan duduk makan di premis, dasar itu telah mengakibatkan pengangguran,'' katanya kepada DagangNews.com dalam temubual secara maya baru-baru ini.

 

Chua yang juga presiden penggal lepas MRCA berkata, F&B adalah kategori yang paling cepat dan pesat berkembang, jadi. Ia adalah satu sektor yang kerajaan perlu memberi lebih banyak sokongan dan menjadi lebih terbuka dalam hal ini.

 

Pada masa ini, menurut beliau, sebanyak 40% dari kedai F&B berada di pusat membeli-belah dan berpotensi berkembang sehingga 50%.

 

Menurut Chua yang juga Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Rotol Group of Companies, F&B menjadi faktor penting dalam menjana pekerjaan serta mendorong lonjakkan ekonomi, malah ia menyumbang hampir 20% kepada resit perbelanjaan pelancong.


 

gary chua
Datuk Seri Garry K.S. Chua

 


Ini kerana Malaysia mempunyai banyak jenis masakan dan restoran yang baik yang boleh membantu menjana industri pelancongan secara tidak langsung.

 

 

Mengenai impak COVID-19 kepada perniagaan runcit termasuk F&B, Chua berkata: “Pandemik ini adalah terburuk berbanding krisis kewangan yang kita hadapi pada tahun 1998.

 

“Semasa krisis kewangan, anda masih boleh menjalankan perniagaan. Apa yang perlu usahawan perlu lebih agresif memajukan perniagaan mereka, tetapi dalam masa PKP semua tutup, anda tidak boleh berbuat apa-apa.

 

“Apabila roda berhenti, semuanya berhenti. Anda tidak mempunyai pendapatan. Dengan pendapatan sifar, maka anda perlu membayar sewa, gaji pekerja dan lain-lain perbelanjaan yang sewajarnya,’’ ujarnya.

 

Menurut Chua, sekurang-kurangnya 70% yang berniaga di pusat membeli-belah mengalami kerugian dan berada dalam  keadaan yang parah.

 

Ramai antara mereka tidak membayar sewa selama lebih daripada enam bulan.

 

“Bolehkah anda bayangkan, ramai yang berhutang berjuta-juta dengan pemilik  pusat membeli-belah.”

 

Namun, katanya, mujurlah terdapat beberapa pemilik pusat membeli-belah memiliki belas kasihan dan menawarkan banyak berita baik, mereka sebenarnya baik dan memberi sedikit rebat sehingga 80% atau lebih.


 

mall
Pusat beli-belah lengang tanpa pengunjung akibat PKP semasa pandemik COVID-19 sekarang.

 


Ada juga yang memberikan sewa percuma dalam tempoh ini, mereka hanya mengenakan caj perkhidmatan.

 

Menurut Chua, ada juga sesetengah pemilik pusat membeli-belah yang kurang bertolak-ansur dan beliau berharap mereka akan mencontohi pemilik yang baik hati bagi membantu pengusaha runcit dan peniaga perusahaan kecil dan sederhana dalam tempoh tertentu.

 

Katanya, kebanyakan pemilik pusat membeli-belah masih mencatat keuntungan.

 

Tetapi , Chua berharap kerajaan harus memainkan peranan untuk menjadi penggerak untuk membantu menghidupkan semula keseluruhan industri runcit dan ekonomi.

 

Sudah tiba masanya bagi usahawan meneruskan operasi perniagaan mereka dalam keadaan norma baharu, kerana penularan pandemik COVID-19 dijangka berterusan, kata beliau.

 

Pada dasarnya ujar beliau, semua pihak harus belajar untuk hidup dengan COVID-19 kerana manusia tidak ada pilihan, dan ia telah terbukti bahawa jika kita `lockdown’ sepanjang masa, ekonomi akan mati.

 

“Jika tidak, ramai orang akan kehilangan pekerjaan, maka tiada siapa yang dapat bertahan di pasaran, dan sebab itu kita perlu hidup dengannya, “ “Strategi ke hadapan ini penting dan wajar memandangkan kerajaan telah pun melaksanakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) mulai Februari lalu.


 

vaksin
PETUGAS KKM mengadakan proses vaksinasi secara bergerak bagi kemudahan golongan yang sukar ke PPV.

 


Setakat 12 Ogos lalu, sebanyak 40.7% atau 9,516,141 daripada keseluruhan populasi dewasa di negara ini direkodkan sudah menerima dua dos vaksin COVID-19.

 

Selain itu, seramai 16,347,422 yang mewakili 69.8% populasi dewasa sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos pelalian berkenaan.

 

Ini menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin COVID-19 di seluruh negara meningkat kepada 25,863,563 dos, membabitkan sebanyak 227,506 dos pertama, manakala 269,846 ialah dos kedua pelalian itu.



Beliau berkata, keadaan ini sangat baik dan berharap agar Malaysia akan mencapai imuniti kelompok  secepat mungkin.

 

Senario di seluruh dunia hari ini ujar beliau, walaupun sudah divaksin, terdapat kes COVID-19 yang terus meningkat.

 

“Lihatlah di Indonesia, sebagai contoh, mereka adalah salah satu negara teratas dari segi vaksinasi namun mereka mempunyai kadar peningkatan kes yang tinggi.

 

“Sudah pasti, kita mempunyai lebih banyak kes dan dengan demikian, kita perlu hidup dengannya tetapi dengan pematuhan dan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat,” tegas Chua.

 

Katanya, itu adalah amalan yang harus semua lalui untuk bergerak ke hadapan. – DagangNews.com