Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 1 Sept. - Pemerkasaan teknologi nano yang menyumbang kepada aspirasi Malaysia untuk mencapai gelaran negara Industri Revolusi Ke-4 (IR4) sentiasa diberikan tumpuan kerana sektor itu berpotensi sebagai ‘lubuk’ ekonomi baharu tempatan.
Disebabkan itu, pelbagai penemuan inovasi berasaskan teknologi nano segera dibawa ke dalam pasaran sejajar matlamat tersebut.
Bagi mencapai aspirasi berkenaan, pemain industri dan kerajaan menjalin hubungan kerjasama dengan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
NanoMalaysia Berhad (NanoMalaysia) sebagai sebuah entiti perniagaan yang diamanahkan dengan aktiviti komersial teknologi nano melihat pemasaran teknologi tersebut menyumbang kepada potensi pendapatan kasar negara (PNK) secara langsung (RM4.5 bilion) dan tidak langsung (RM17.5 bilion) berjumlah hampir RM22 bilion pada masa akan datang.
“Di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11), NanoMalaysia secara langsung telah membantu lebih 50 PKS untuk membangunkan produk baharu teknologi nano yang menghasilkan hampir 2,000 pekerjaan secara langsung dan kira-kira 9,000 pekerjaan tidak langsung.
“Malaysia mempunyai peluang besar dalam dua inovasi iaitu pengecas tanpa wayar frekuensi radio menggunakan teknologi nano yang membolehkan peranti dihidupkan pada jarak jauh dan reaktor hidrogen mudah alih menghasilkan gas berkenaan berdasarkan permintaan, sekali gus tidak bergantung kepada keperluan gas mahal kemudahan pengangkutan, pengisian bahan bakar dan penyimpanan.
“Memandangkan dunia sedang melalui peralihan tenaga yang boleh diperbaharui, dua inovasi berimpak tinggi ini dapat meletakkan Malaysia sebagai peranan utama dalam menerapkan ekonomi yang lebih hijau untuk terus maju,” kata Ketua Pegawai Eksekutif NanoMalaysia, Dr. Rezal Khairi Ahmad kepada DagangNews.com.
Sehubungan itu, PKS tempatan yang berminat untuk mengadaptasi teknologi nano ke dalam produk sedia ada digalakkan untuk menyertai program NanoMalaysia di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) iaitu REVOLUTIoNT.
Menerusi program tersebut, syarikat pemula (start-up) dan PKS akan berkolaborasi dengan institut penyelidikan oleh NanoMalaysia di universiti-universiti untuk membangunkan teknologi dan produk baharu yang boleh digunakan oleh industri, pengguna dan juga perlindungan persekitaran.
Setelah dipersetujui oleh pihak-pihak yang terlibat, ‘aset intelektual' atau idea baharu yang diterjemahkan dalam teknologi dan produk akan digunakan sebagai asas untuk perkongsian ekuiti dengan syarikat pemula dan PKS bagi keuntungan jangka sederhana dan jangka panjang seterusnya menembusi pasaran antarabangsa.
“Dalam pada itu, kerajaan melihat terdapat penurunan minat terhadap sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) dalam kalangan pelajar.
“Walaupun pelajar STEM di pendidikan tinggi menurun daripada 47% kepada 44%, namun NanoMalaysia percaya kewujudan keusahawanan dan peluang pekerjaan baharu dalam sektor yang dipengaruhi oleh teknologi nano seperti elektronik, telekomunikasi, tenaga, automotif, pertanian, pembuatan dan tekstil akan memperbaharui minat dalam pendidikan STEM,” tambah Rezal Khairi.
Sejak pelaksanaan program komersial NanoMalaysia pada 2016, sebanyak 53 idea baharu berjaya dikembangkan secara komersial.
Rezal Khairi berkata, pembangunan itu menyumbang kepada penghasilan peluang keusahawanan baharu di bawah 20 usaha sama dan syarikat pemula melalui model pembangunan usaha sama yang bertujuan mewujudkan ekosistem relevan dan kondusif.
Pengkomersialan teknologi canggih itu seterusnya akan mewujudkan pekerjaan baharu dan kesan limpahan (spill over) rantaian bekalan. - DagangNews.com