[EKSKLUSIF] Wujudkan PPV pandu lalu OKU di setiap negeri | DagangNews Skip to main content

[EKSKLUSIF] Wujudkan PPV pandu lalu OKU di setiap negeri

Senator Datuk Ras Adiba Radzi

Senator Datuk Ras Adiba Radzi.

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 25 Jun - Seiring dengan kewujudan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negara, PPV secara pandu lalu khusus bagi golongan Orang Kurang Upaya (PKU) turut diwujudkan bermula 16 Jun baru-baru ini.

 

PPV pandu lalu yang pertama bagi OKU itu beroperasi di Menara Sime Darby Plantation, Ara Damansara dengan jangkaan 13,500 OKU yang akan menerima suntikan vaksin. 

 

Jumlah berkenaan bagaimanapun ditambah kepada 40,000 penerima vaksin OKU bagi tempoh lima bulan akan datang. 

 

Setelah seminggu beroperasi, Presiden OKU Sentral, Senator Datuk Ras Adiba Radzi berkata, vaksinasi di PPV OKU berkenaan hingga kini dilihat berjalan dengan lancar.

 

Baca: Penerima vaksin PPV pandu lalu OKU ditambah kepada 40,000 

Baca: PPV pandu lalu pertama OKU mulakan vaksinasi hari ini

 

Beliau turut bersyukur apabila ramai golongan OKU hadir dengan penuh keberanian untuk mendapatkan vaksinasi.

 

"280,000 OKU telah mendaftar untuk divaksinasikan di seluruh negara. Daripada jumlah itu, 19,000 OKU telah pun mendapatkan vaksinasi mereka yang pertama.

 

"Di PPV OKU Sentral, 753 OKU setakat lima hari ini telah mendaftar dan mendapatkan vaksinasi mereka. Namun, sehingga hujung akhir ini kami perlu kemaskini untuk jumlah keseluruhannya," katanya ketika dihubungi DagangNews.com.

 

.

 

PPV pandu lalu berkenaan adalah hasil cetusan idea Ras Adiba dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF), Pusat Perubatan Ara Damansara, Sime Darby Plantation Berhad dan lain-lain.

 

Katanya, kesemua pihak terlibat sangat memainkan peranan yang proaktif bagi memastikan usaha yang besar itu dapat dijayakan dengan sebaik mungkin.

 

Ditanya berkaitan keperluan PPV pandu lalu di lain-lain negeri, beliau memberitahu, adalah amat penting untuk PPV pandu lalu diselenggarakan di seluruh negara.

 

Menurut beliau, langkah itu pastinya mampu memudahkan golongan OKU untuk mendapatkan vaksinasi.

 

.

 

"Pada saya adalah amat penting untuk PPV pandu lalu diselenggarakan di keseluruhan negeri-negeri di negara kita.

 

"Ini kerana ianya dapat memudahkan OKU itu terutamanya yang sukar untuk bergerak dan menunggu lama untuk ke PPV biasa.

 

"Jadi saya mohon setiap negeri dapat lakukan PPV secara pandu lalu, mungkin secara kecil-kecilan tetapi ianya akan membantu OKU dan keluarga mereka," katanya lagi.

 

Berkongsi masalah yang sering dihadapi pihaknya di PPV berkenaan, beliau memberitahu, ramai penjaga yang salah faham berkaitan vaksinasi OKU di PPV tersebut.

 

Baca: Pastikan terima notifikasi MySejahtera sebelum bawa OKU ke PPV, pesan Ras Adiba

 

Katanya, penjaga OKU perlu memastikan OKU yang didaftarkan mendapat notifikasi daripada aplikasi MySejahtera sebelum hadir ke PPV berkenaan.

 

"Selain itu, ramai yang tidak dijemput akan datang dan memikirkan bahawa PPV ini adalah sesuatu yang mereka boleh masuk, terus daftar dan dapat vaksin.

 

"Kemudiannya kami boleh diibaratkan seperti 'punching bag' kerana orang datang dan memarahi kami. Sedangkan kami hanya mengikut kesemua notifikasi yang telah diturunkan kepada telefon-telefon mereka melalui MySejahtera. 

 

"Seterusnya adalah apabila kami dapati borang MySejahtera itu tidak mengatakan sekiranya seseorang itu mendaftarkan anak mereka di dalam borang itu. Jadi seboleh-bolehnya OKU atau pembantu mereka boleh la diletakkan sebagai dependent atau sebaliknya," ujar beliau lagi.

 

.

 

Dalam sesi wawancara sama, beliau turut meninggalkan pesanan dengan menyeru seluruh komuniti OKU agar membuat pendaftaran bagi mendapatkan vaksin.

 

"Apa yang mereka perlu lakukan adalah daftar di MySejahtera dan kemudiannya apabila datang sesuatu PPV itu, mereka perlu berjumpa dengan doktor dan meminta nasihat terlebih dahulu. Kerana ada antara kita mempunyai alahan atau sakit-sakit lain yang mungkin memudaratkan keadaan.

 

"Jadi saya mohon sahabat-sahabat OKU keluar dahulu berjumpa dengan pakar-pakar yang terdapat di pusat vaksinasi ini dan dapatkan khidmat nasihat mereka dan seterusnya cuba sebaik mungkin untuk mendapatkan vaksinasi ini.

 

"Ambil peluang ini agar dapat kita sama-sama menjaga kesihatan," pesan beliau lagi. - DagangNews.com