Eksport getah asli Malaysia pada Julai 2020 naik 17.6% | DagangNews Skip to main content

Eksport getah asli Malaysia pada Julai 2020 naik 17.6%

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com


 

KUALA LUMPUR 14 Sept. - Eksport getah asli Malaysia berjumlah 45,386 tan metrik pada Julai 2020, meningkat sebanyak 17.6% berbanding 38,587 tan metrik pada Jun 2020. 

China terus kekal sebagai destinasi utama eksport getah asli iaitu 58.9% daripada jumlah eksport pada Julai 2020 diikuti Jerman (6.0%), Finland (5.1%), Iran (3.9%) dan Taiwan (3.0%). 

Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, sarung tangan getah merupakan item eksport utama dengan nilai eksport meningkat sebanyak 14.0% dari RM2.78 billion pada Jun 2020 kepada RM3.17 billion pada Julai 2020.

 

Mohd. Uzir Mahidin
Mohd. Uzir Mahidin

 

“Pengeluaran getah asli Malaysia meningkat 24.7% pada Julai 2020 kepada 41,801 tan metrik berbanding 33,531 tan metrik pada bulan sebelumnya. 

“Perbandingan tahun ke tahun pula menunjukkan penurunan sebanyak 30.4% berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya.

“Stok getah asli terus mencatatkan penurunan pada Julai 2020 sebanyak 7.4% kepada 235,119 tan metrik berbanding 253,994 tan metrik pada Jun 2020,” kata Mohd. Uzir dalam satu kenyataan hari ini. 

Dalam pada itu, harga purata bagi Lateks Pekat merekodkan penurunan kepada 467.20 sen sekilogram berbanding Jun 2020 (479.90 sen sekilogram). 

Sebaliknya, Getah Mutu Malaysia 20 (G.M.M. 20) meningkat kepada 497.86 sen sekilogram berbanding 484.33 sen sekilogram bagi tempoh yang sama.

“Jumlah penggunaan getah asli di peringkat domestik ialah 46,844 tan metrik, meningkat sebanyak 5.8% berbanding bulan sebelumnya. 

“Pembuatan sarung tangan getah mendominasi industri pembuatan getah asli iaitu sebanyak 36,024 tan metrik atau 76.9% daripada jumlah penggunaan domestik,” tambah beliau. - DagangNews.com