Eksport industri sawit diunjur cecah RM100 bilion tahun ini | DagangNews Skip to main content

Eksport industri sawit diunjur cecah RM100 bilion tahun ini

BANGI 18 Nov - Industri sawit dijangka menyumbangkan nilai eksport sebanyak RM100 bilion tahun ini berbanding RM73.3 bilion yang dicatatkan pada 2020, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin.

 

Beliau berkata, prestasi harga minyak sawit yang stabil mendorong pendapatan eksport negara lebih tinggi.

 

"Industri sawit sebenarnya mampu menyumbang nilai eksport sehingga RM120 bilion pada tahun ini, namun kekurangan tenaga buruh akibat pembekuan pengambilan pekerja asing serta kekurangan pengeluaran sawit menyebabkan kita kekurangan lagi RM20 bilion," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

 

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Konsortium Penyelidikan Mekanisasi dan Automasi Sawit (MARCOP), lapor Bernama.

 

Harga minyak sawit mentah (MSM) mencecah RM5,404 satu tan pada 3 November 2021 dan paras itu yang tertinggi pernah direkodkan.

 

Berdasarkan purata harga MSM bagi tahun ini untuk tempoh Januari hingga Oktober, ia melonjak 65% kepada RM4,276.50 satu tan daripada RM2,583.50 satu tan yang dicatatkan semasa tempoh yang sama 2020.

 

Sementara itu, mengulas mengenai penubuhan MARCOP, Zuraida berkata, konsortium itu menerima peruntukan keseluruhan RM60 juta untuk penyelidikan dan pengkomersialan teknologi mekanisasi ladang.
 

 

zuraida
Zuraida Kamaruddin berucap pada majlis merasmikan Konsortium Penyelidikan Mekanisasi dan Automasi Sawit (MARCOP).

 

zuraida

 

Beliau berkata, ia menumpukan teknologi mekanisasi dan automasi dalam kerangka Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) seperti dron, robot dan sensor untuk operasi bersepadu dan sistematik bagi menangani isu yang dihadapi sektor perladangan sawit.

 

"Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi menyasarkan tempoh tiga tahun iaitu sehingga 2024 untuk MARCOP mencari hala tuju serta penggunaan teknologi yang boleh mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh terutama dalam penuaian kelapa sawit," katanya.

 

Pengerusi Jawatankuasa Utama MARCOP, Datuk Mohamad Nageeb Abdul Wahab, berkata pengeluaran MSM sewajarnya mencatatkan 20 juta tan tahun ini namun ia dijangka hanya mencecah 18 juta tan.

 

 

zuraida

 

 

Beliau berkata, ini berikutan perladangan sawit mengalami kekurangan 75,000 tenaga buruh akibat pandemik COVID-19.

 

"Fokus utama MARCOP adalah menyelesaikan masalah operasi penuaian buah tandan segar (BTS) yang membabitkan hampir 80% penggunaan tenaga buruh import.

 

"Kami berharap dengan automasi ini, ia juga dapat menarik minat anak tempatan untuk menceburi bidang ini, sekali gus meraih pendapatan yang lebih tinggi," katanya. - DagangNews.com