Eksport minyak sawit Malaysia bakal terima manfaat daripada ketegangan di Laut Hitam | DagangNews Skip to main content

Eksport minyak sawit Malaysia bakal terima manfaat daripada ketegangan di Laut Hitam

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 April - PublicInvest Research menjangkakan eksport minyak sawit Malaysia akan menerima manfaat daripada ketegangan yang berlaku di Laut Hitam akibat daripada konflik Rusia-Ukraine.

 

Firma itu berkata, kebanyakan negara yang bergantung kepada minyak bunga matahari sudah mula mengalihkan permintaan mereka kepada minyak kelapa sawit akibat kekurangan bekalan.

 

Kesan daripada konflik yang berlaku menyebabkan harga minyak sayuran kekal tinggi pasaran untuk separuh pertama 2022.

 

"Ia merupakan peluang terbaik untuk minyak kelapa sawit mendapatkan semula keyakinan daripada pembeli di Eropah selepas menerima publisiti yang kurang baik sebelum ini.

 

"Kami menjangkakan permintaan daripada rantau EU dalam jangka masa terdekat selepas berlaku pengurangan eksport kacang soya dari Brazil, Paraguay, Rusia dan Ukraine serta pengurangan bunga matahari dari Rusia, Kazakhstan dan Ukraine.

 

"Bagaimanapun, kami merasakan penghasilan minyak sawit diunjurkan lebih rendah kerana impak daripada kekurangan tenaga kerja di Malaysia selain duti eksport yang tinggi di Indonesia," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Ketegangan di wilayah Laut Hitam menimbulkan kebimbangan terhadap negara-negara pengimport minyak bunga matahari dalam memenuhi permintaan domestik termasuk India dan China dan pencarian alternantif minyak sayuran akan menjadi cabaran terutama dalam pasaran yang memiliki kekurangan bekalan ketika ini.

 

Firma itu berkata, harga purata minyak sawit mentah (MSM) adalah RM6,250 untuk satu tan bernading jangkaan untuk satu tahun penuh sebanyak RM4,300 satu tan.

 

"Buat masa sekarang kami sedang menyemak semula unjuran bagi harga MSM dan kami mengekalkan saranan 'overweight' untuk sektor perladangan," katanya. - DagangNews.com