Eksport Power Root ke pasaran Asia Barat dijangka terus meningkat | DagangNews Skip to main content

Eksport Power Root ke pasaran Asia Barat dijangka terus meningkat

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Jun - AmInvestment Bank Research menjangkakan jualan eksport Power Root Berhad terutama ke pasaran Asia Barat akan terus meningkat dan pada masa sama mengkuhkan pendapatan kumpulan itu pada masa akan datang.

 

Firma itu berkata, jualan produk kumpulan itu untuk pasaran dometik mencatatkan penurunan sebanyak 12% namun ia berjaya diimbangi oleh permintaan yang kukuh daripada pasaran ekport yang mencatatkan peningkatan sebanyak 22%.

 

Katanya, pendapatan terkumpul bagi FY22 untuk kumpulan itu meningkat sebanyak 13% kepada RM348 juta iaitu lebih 5% daripada jangkaan firma itu.

 

"Strategi Power Root dalam melindung nilai harga bahan mentah dan penyusunan semula harga produk untuk mengatasi inflasi dilihat lebih berkesan berbanding jangkaan awal kami.

 

"Margin keuntungan kasar kumpulan itu juga meningkat sebanyak 2.7% pada 4QFY22 kepada 55.6% yang tertinggi sejak 4QFY17.

 

"Kos operasi kumpulan juga menurun sebanyak 12% kerana perbelanjaan iklan yang rendah," katanya dalam satu nota kajian.

 

Terdahulu, untung bersih kumpulan itu bagi 4QFY22 melonjak kepada RM13 juta didorong oleh jualan yang kukuh melebihi jangkaan selain margin keuntungan lebih baik serta perbelanjaan operasi lebih rendah.

 

Firma itu juga meningkatkan unjuran pendapatan bagi FY23F sebanyak 23% dan FY24F sebanyak 2% selepas mengambil kira perbelanjaan operasi yang rendah dan mengunjurkan pendapatan lebih tinggi.

 

"Kami mengekalkan saranan 'pegang' dengan nilai wajar (FV) lebih tinggi sebanyak RM1.45 berbanding RM1.21," katanya. - DagangNews.com