Eksport produk sarang burung walet cecah RM714 juta hingga April | DagangNews Skip to main content

Eksport produk sarang burung walet cecah RM714 juta hingga April

.

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 25 Jun - Eksport produk sarang burung walet ke luar negara terus kukuh apabila berjaya mencatatkan RM714 juta dengan kapasiti 962 tan metrik bagi tempoh hingga April 2021.

 

Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, prestasi berkenaan kekal kukuh terutamanya ketika negara masih mengharungi penularan pandemik COVID-19.

 

.

 

"MAFI sentiasa menggalakkan pengeksportan produk-produk sarang burung walet ke Iuar negara bagi meningkatkan nilai eksport produk dan daya saing industri ini secara keseluruhannya.

 

"Pada tahun 2019, jumlah eksport adalah sebanyak 5,654 tan metrik bernilai RM1.154 bilion dan dilihat sebagai antara industri berasaskan ternakan yang menjadi penyumbang besar kepada ekonomi negara.

 

"Manakala pada tahun 2020, jumlah eksport adalah sebanyak 3,640 tan metrik bernilai RM1.385 billion," katanya.

 

Beliau berkata demikin selepas meninjau operasi di loji pemprosesan sarang burung walet PT Swift Marketing Sdn. Bhd. bagi memastikan operasi loji yang terlibat dalam pasaran eksport tidak terganggu dan berterusan sepanjang masa. 

 

Bagi memenuhi protokol eksport sarang burung walet ke negara China, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) telah mengakreditasi dan memberi pentauliahan persijilan Veterinary Health Mark (VHM) kepada 30 loji pemprosesan, sementara persijilan Good Veterinary Hygiene Practice (GVHP) melibatkan sebanyak 44 loji pemprosesan.

 

.

 

Sebanyak 2,905 buah rumah burung walet telah berjaya mempunyai persijilan MyGAP.

 

Beliau memberitahu, MAFI melalui DVS sebelum ini juga berjaya mewujudkan satu Program Sistem Pendaftaran Premis Walet yang dikenali sebagai METS (Malaysia EBN Traceability System) bagi mengukuhkan sistem daya jejak bagi mencapai piawaian global serta menjadi salah satu syarat dalam pengeksportan sarang burung walet Malaysia ke negara China.

 

DVS mengambil pelbagai langkah untuk terus meningkatkan pengeluaran Edible Bird Nest (EBN) melibatkan aktiviti dalam semua rantaian nilai dalam industri EBN iaitu pengeluaran sarang burung walet, pengumpulan, pemprosesan dan pemasaran. 

 

"Ini termasuk mengalakkan pendaftaran premis walet dengan DVS bagi tujuan pemantauan. 

 

"Secara keseluruhannya, sebanyak 12,954 premis walet telah didaftarkan oleh DVS di seluruh negara setakat ini," katanya lagi. - DagangNews.com