Elak beli perkakas elektrik tanpa label Sirim-ST | DagangNews Skip to main content

Elak beli perkakas elektrik tanpa label Sirim-ST

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 15 Feb. - Sebanyak 45 kes yang melibatkan kemalangan elektrik dilaporkan pada tahun lalu dengan 28 mencatatkan kematian, menurut kajian oleh Suruhanjaya Tenaga (ST).

 

Penggunaan peralatan elektrik yang tidak disahkan dan rosak adalah antara faktor menyebabkan kemalangan di premis domestik.

 

Malah, kadar pembelian peralatan elektrik menerusi platform e-perdagangan yang meningkat dengan mendadak mencetuskan kebimbangan kepada ST dan Sirim Berhad. 

 

Sehubungan itu, sebuah kempen kesedaran keselamatan telah dilancarkan hari ini dalam usaha mengawal penjualan produk elektrik dan elektronik (E&E) yang tidak diperakui, termasuk secara dalam talian atau ‘online’.

 

Diterajui oleh SIRIM QAS International, anak syarikat milik penuh SIRIM dengan kerjasama ST, Malaysian Electrical Appliances Distributors Association (MEADA), dan Federation of Malaysian Electrical Appliances Dealers’ Association (FOMEDA), kempen itu bertujuan meningkatkan kesedaran kepada pengguna dan pemain industri tentang kepentingan label Sirim-ST pada peralatan E&E. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif ST, Abdul Razib Dawood berkata, sebelum sebarang peralatan elektrik dapat dijual di pasaran, ia perlu mendapatkan Perakuan Kelulusan (COA) daripada ST dan menjalani ujian dan pensijilan oleh Sirim. 

 

Abdul Razib Dawood
Abdul Razib Dawood

 

Ujarnya, peralatan elektrik yang telah diluluskan hendaklah dilekatkan dengan label Sirim-ST atau mempunyai Tanda Pensijilan SIRIM. 

 

“ST hanya mengeluarkan COA kepada pengeluar dan pengimport E&E untuk perkakas yang memenuhi standard dan keperluan keselamatan yang relevan seperti yang ditetapkan di bawah Peraturan Elektrik 1994”, katanya ketika merasmikan majlis pelancaran kempen berkenaan secara maya hari ini. 

 

Turut serta, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Datuk Ir. Dr. Ahmad Fadzil Mohamad Hani; Ketua Pegawai Eksekutif Sirim QAS International, Nur Fadhilah Muhammad; Presiden MEADA, Vincent Chew; dan Presiden FOMEDA, Gan Cheng Swee. 

 

Kempen selama tiga bulan itu akan dimulakan dengan pelancaran sebuah video yang menekankan kepentingan membeli barangan E&E yang diperakui oleh SIRIM-ST di mana akan disiarkan di beberapa platform media sosial bermula hari ini.

 

Tambah Abdul Razib, kebanyakan kes kemalangan elekrik telah dibawa ke peringkat siasatan dan perbicaraan mahkamah, malah ada pihak yang didapati bersalah turut dipenjarakan. 

 

Pada masa ini, terdapat 34 kategori (termasuk 199 barang sub-kategori) produk elektrik yang dikawal selia oleh ST  merangkumi peralatan rumah bervoltan rendah.

 

Sementara itu, Ahmad Fadzil memberi peringatan kepada pengguna untuk berwaspada dan hanya membeli peralatan elektrik yang diluluskan oleh SIRIM-ST. 

 

Ahmad Fadzil Mohamad Hani
Ahmad Fadzil Mohamad Hani

 

“Langkah ini bagi mengelakkan kemalangan atau kebakaran yang boleh membawa kecederaan atau kematian. Label Sirim-ST mengesahkan produk berkenaan selamat untuk digunakan, oleh itu keselamatan mereka dapat dijamin.

 

“Berdasarkan sebuah kaji selidik oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada tahun 2018, didapati gajet, barangan sukan dan peralatan rumah antara pembelian dalam talian tertinggi di Malaysia.

 

“Ia menyumbang 56% kepada pembelian dalam talian, selepas pakaian dan aksesori yang merupakan pembelian tertinggi,” katanya. 

 

Bagaimanapun, Nur Fadhilah melihat jumlah pemain industri E&E yang memohon kepada pensijilan label Sirim-ST kian meningkat sejak lima tahun lalu terutamanya ketika tempoh pandemik COVID-19. 

 

Nur Fadhilah
Nur Fadhilah Muhammad

 

“Saya rasa, pengguna juga prihatin terhadap status barangan elektrik yang mempunyai label Sirim-ST, bukan sahaja dijual secara dalam talian malah di kedai-kedai,” ujarnya. - DagangNews.com