ELK-Desa dijangka berdepan tekanan inflasi, gangguan logistik bahan mentah - Malacca Securities | DagangNews Skip to main content

ELK-Desa dijangka berdepan tekanan inflasi, gangguan logistik bahan mentah - Malacca Securities

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Mei - Malacca Securities menjangkakan ELK-Desa Resources Berhad masalah akibat tekanan inflasi global termasuk kemampuan peminjam untuk membayar semula pinjaman selepas pemberian moratorium tamat.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu juga berdepan gangguan logistik untuk bekalan bahan mentah untuk segmen perabot pada masa akan datang.

 

"Kami menjangkakan pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 pada April 2022 akan meningkatkan keupayaan peminjam untuk melakukan pembayaran pada suku tahun berikutnya.

 

"Bagaimanapun, elaun rosot nilai mungkin kekal tidak stabil akibat Akta COVID-19 2020 yang secara amnya melindungi kepentingan peminjam telah dilanjutkan sehingga Oktober 2022," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu kumpulan itu mencatatkan keuntungan yang lebih rendah untuk suku keempat berakhir 31 Mac 2022 iaitu RM5.54 juta atau penurunan sebanyak 60.9% berbanding RM14.16 juta pada suku sama tahun lalu.

 

Pendapatan bagi suku itu juga menurun sebanyak 7.9% kepada RM35.69 juta daripada RM38.75 juta pada suku keempat tahun lalu manakala untung sebelum cukai juga menurun sebanyak 57% kepada RM7.53 juta daripada RM17.54 juta.

 

Dalam satu kenyataan, kumpulan itu berkata, penurunan itu berpunca daripada sumbangan pendapatan yang rendah daripada segmen pinjaman sewa beli dan secara terkumpulan, keuntungan bersih mereka adalah 27% lebih rendah iaitu RM25.77 juta berbanding RM35.29 juta.

 

Firma itu berkata, pemulihan ekonomi semasa kesan daripada perubahan Malaysia ke fasa endemik akan membantu mengembangkan portfolio sewa beli kumpulan itu secara beransur-ansur.

 

Bagi segmen perabot, firma itu itu melihat permintaan akan kembali meningkat selepas mengambil kira kehadiran semula orang ramai ke pejabat.

 

"Kami mengekalkan saranan beli untuk saham ELK-Desa dengan harga sasaran (TP) RM1.47 dan pada masa sama, kumpulan itu komited untuk mengagihkan tidak kurang 60% daripada keuntungan selepas cukai," katanya. - DagangNews.com