Enhance Track, NMB cipta pengecas tanpa wayar nanotech pertama Malaysia | DagangNews Skip to main content

Enhance Track, NMB cipta pengecas tanpa wayar nanotech pertama Malaysia

Rezal Khairi Ahmad

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

KUALA LUMPUR 10 Ogos - Enhance Track Sdn. Bhd. serta rakan teknologinya, NanoMalaysia Berhad (NMB) berjaya mencipta prototaip Pengecas Telefon Mudah Alih Tanpa Wayar Radio Frekuensi (RF) yang dikenali sebagai Malaysian Energy Transmission Technology (METT).

Pengarah Urusan Enhance Track Sdn. Bhd., Benedict Foo berkata, pengecas tersebut merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia dan memiliki keupayaan mengecas bukan induktif tanpa sentuhan dan jarak jauh melebihi beberapa meter.

"Hari ini semua orang memiliki telefon selular sama ada untuk tujuan perniagaan atau peribadi. Mereka memerlukan cara yang efisyen untuk mengecas peranti tanpa perlu lekatkan pada dinding.

"Kini ada sistem yang membolehkan telefon selular digunakan sepenuhnya tanpa wayar untuk kemudahan pergerakan dan permintaan pasaran adalah tinggi untuk kemudahan ini," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

METT turut berupaya membekalkan kuasa kepada peranti mudah alih berasaskan 5V.

Dengan menggunakan sistem tersebut, pengguna boleh memasuki mana-mana zon yang dibekalkan dengan kemudahan wifi untuk mengecas telefon mereka secara automatik.

Teknologi tersebut dibangunkan di bawah Pelan Tindakan Grafin Kebangsaan (NGAP) yang memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi berasaskan grafin dengan kerjasama industri dan universiti di Malaysia.

METT kini dalam fasa penambahbaikan peringkat akhir sebelum memasuki pasaran pada pertengahan tahun 2021.

Teknologi tersebut juga dijangka menjana hasil hampir RM1.9 bilion serta mewujudkan hingga 2,800 peluang pekerjaan. 

Dalam pada itu, teknologi METT pernah dinyatakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif NanoMalaysia Berhad, Dr. Rezal Khairi Ahmad dalam Persidangan dan Ekspo NanoSummit Malaysia (MyNano 2019).

Jelas beliau, selaras dengn Revolusi Industri ke-4, tumpuan NGAP 2019 adalah terhadap sistem pengecas tanpa wayar dan teknologi pengenalan frekuensi radio (RFID).

"NanoMalaysia telah mengenal pasti pengecas tanpa wayar jarak jauh sebagai antara peranti pengubah teknologi dalam masa terdekat. Menerusi model pengusaha-pembila kami yang unik, teknologi ini telah dihasil dan dibangunkan melalui Enhance Track.

"Pengecas tanpa wayar mempunyai potensi penggunaan yang meluas dalam sektor ekonomi digital sekali gus menjadi platform lonjakan bagi penyelesaian nanoteknologi lain bagi memenuhi aspirasi Revolusi Indsutri ke-4 Malaysia," jelasnya. - DagangNews.com