EP Manufacturing catat penurunan kerugian, pemulihan sektor automotif akan bantu prestasinya | DagangNews Skip to main content

EP Manufacturing catat penurunan kerugian, pemulihan sektor automotif akan bantu prestasinya

Pendapatan EPMB pada 4QFY21 direkodkan pada RM126.8 juta berbanding RM134.2 juta pada suku yang sama sebelumnya.
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 28 Feb – Pengeluar alat ganti automotif EP Manufacturing Bhd (EPMB) berjaya menurunkan kerugian bersih selepas cukai hampir RM6.7 juta pada tahun kewangan 2021 atau 45% tahun-ke-tahun kepada RM8.2 juta daripada RM14.9 juta pada tahun sebelumnya.

 

Ia juga menandakan keupayaan syarikat untuk mencatat pemulihan pada suku keempat berakhir 31 Disember 2021 (Q4FY21) dengan keuntungan bersih suku tahunan tertinggi dalam 7 tahun.

 

Ini berjaya dicapai di sebalik kesan sekatan pergerakan dan bencana banjir di Semenanjung Malaysia Disember 2021, yang mengganggu operasi banyak pengeluar kereta.

 

Dalam pengumuman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat menunjukkan bahawa keuntungan bersih selepas cukai pada 4Q21 melonjak kepada RM2.74 juta berbanding kerugian bersih selepas cukai sebanyak RM0.62 juta pada suku yang sama sebelumnya.

 

Asas syarikat mengukuh didorong langkah strategik Kumpulan untuk menyelaraskan kos dan meningkatkan kecekapan operasi, serta susut nilai dan pelunasan yang lebih rendah pada suku dalam tinjauan susulan beberapa jentera telah mengalami susut nilai sepenuhnya.

 

Pendapatan EPMB pada 4QFY21 direkodkan pada RM126.8 juta berbanding RM134.2 juta pada suku yang sama sebelumnya.

 

Pendapatan bagi tempoh 12 bulan dicatatkan pada RM345.4 juta berbanding RM408.9 juta pada tahun kewangan sebelumnya.

 

Pengerusi Eksekutif EPMB, Hamidon Abdullah berkata, usaha pihaknya untuk membawa Kumpulan kembali mencatat keuntungan telah mula membuahkan hasil yang positif, walaupun terjejas oleh faktor luaran seperti sekatan pergerakan, gangguan rantaian bekalan dan banjir besar pada tahun lepas.


 

Pengerusi Eksekutif EPMB, Hamidon Abdullah
                                Hamidon Abdullah

 


Dengan tahun 2022 dijangka menjadi tahun pemulihan susulan janji kerajaan untuk mengelakkan penutupan ekonomi seluruh negara, ini sesuatu yang positif untuk banyak sektor perniagaan, termasuk automotif.

 

Pengecualian cukai jualan kenderaan sehingga 30 Jun 2022 dan pemulihan yang memberangsangkan dalam jualan kereta adalah pemangkin utama EPMB.

 

``Kami berharap untuk mencapai prestasi yang lebih kukuh pada FY2022. Bagaimanapun, kami tetap berhati-hati dan percaya bahawa cabaran akan terus berlarutan pada 2022.

 

‘’Prestasi Kumpulan akan bergantung kepada permintaan pasaran untuk kenderaan dan keadaan ekonomi Malaysia.”


 

EP Manufacturing Bhd (EPMB)

 


Kumpulan itu berkata sektor automotif dijangka menyaksikan pemulihan yang lebih kukuh pada 2022, dengan jumlah unjuran jumlah industri (TIV) pada 600,000 unit berbanding 508,911 unit pada 2021.

 

Pemulihan yang memberangsangkan dalam jualan kenderaan adalah dijangkakan dengan pembukaan aktiviti ekonomi dan lanjutan pengecualian cukai jualan kenderaan sehingga 30 Jun 2022.

 

Pelanggan utama Kumpulan adalah termasuk pembuat kereta nasional Perodua dan Proton serta pembuat kereta bukan nasional seperti Honda, Mazda dan Toyota. DagangNews.com