KUALA LUMPUR 20 Jun - Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC Berhad) mencatatkan perolehan RM162.9 juta bagi tempoh lima bulan pertama 2024, peningkatan 23% berbanding tempoh yang sama pada 2023.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC, Ts. Muhtar Suhaili berkata, keuntungan kasar Kumpulan pula naik 42% kepada RM67 juta, manakala keuntungan sebelum cukai (PBT) mencapai RM24.0 juta, 5.7 kali lebih tinggi daripada tempoh yang sama tahun lalu.
"Tinjauan prestasi lima bulan pertama tersebut berakhir dengan rekod cemerlang PAT sebanyak RM15.5 juta, kenaikan ketara melebihi sasaran keseluruhan PAT yang diluluskan bagi tahun 2024 iaitu pada jumlah RM14.5 juta," katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhtar berkata, pencapaian EPIC Berhad yang kekal cemerlang memasuki tahun 2024 jelas menunjukkan fokus strategik dan kecemerlangan operasi.
"Pihak syarikat komited untuk meneruskan usaha memacu pertumbuhan dan memberikan nilai yang mampan kepada para pemegang saham melalui projek dan pelaburan strategik berterusan," jelasnya.
ARTIKEL BERKAITAN: EPIC lancar operasi dua kren baharu di Pelabuhan Kemaman, tingkatkan kapasiti kepada 7 juta tan setahun
Melangkah ke hadapan, katanya, EPIC Berhad kekal optomistik untuk mengekalkan trajektiori positif dan komited dalam melaksanakan strategi perniagaan.
Ujar beliau, ini termasuklah projek-projek yang sedang berjalan dan dirancang terutamanya Projek Pembesaran Pelabuhan Kemaman, Fasiliti Pengitaran Semula Kapal dan Pelantar Hijau atau ‘Green Ship Recycling Facility’ ("GSRF") serta proses menaik taraf fasiliti-fasiliti pelabuhan untuk menampung peningkatan permintaan yang akan dipacu oleh rangkaian Laluan Rel Pantai Timur ("ECRL").
"Pihak syarikat juga sedang meneroka beberapa projek berprofil tinggi yang kini dalam proses bidaan, di samping pelaburan berpotensi dari dalam dan luar negara untuk pemajakan tanah milik syarikat di kawasan perindustrian Teluk Kalong," katanya.
Sementara itu, EPIC Berhad memaklumkan Kumpulan itu telah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-43 yang dipengerusikan oleh Datuk Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak, Pengarah EPIC Berhad dengan semua resolusi telah diluluskan oleh pemegang saham yang hadir.
Dalam mesyuarat terbabit, katanya, EPIC Berhad mengumumkan keputusan pencapaian kewangan syarikat yang telah diaudit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23) yang menyaksikan perolehan sebanyak RM344.0 juta, peningkatan daripada RM343.1 juta berbanding FY2022.
"Pertumbuhan perolehan dijangka akan meningkat dengan lebih baik tahun ini, didorong oleh pelbagai inisiatif dan projek yang sedang dijalankan oleh syarikat.
"Pendapatan Sebelum Faedah, Cukai, Susut Nilai, dan Pelunasan (EBITDA) yang kekal kukuh pada jumlah RM81.0 juta jelas mempamerkan kemampanan perniagaan syarikat untuk pertumbuhan dan keuntungan masa hadapan," jelasnya.
Keuntungan selepas cukai (PAT) FY23 pula naik kepada RM8.9 juta, lebih sekali ganda daripada RM3.9 juta pada FY22.
"Prestasi memberangsangkan ini adalah kesan peningkatan kecekapan operasi syarikat dan hasil pengurusan kos yang efektif," ujarnya.- DagangNews.com