EPS Axiata ditingkatkan hingga FY23 | DagangNews Skip to main content

EPS Axiata ditingkatkan hingga FY23

Axiata Group Bhd. (Axiata)

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 26 Feb. - Syarikat telekomunikasi Axiata Group Bhd. (Axiata) dijangka mencatatkan peningkatan dalam jangkaan perolehan sesaham (EPS) bagi tahun kewangan 2021, 2022 dan 2023.

 

CGS-CIMB Research berkata, peningkatan tersebut masing-masing dijangka melonjak sebanyak 11.8%, 28.9% dan 8.7%.

 

"Kami mengurangkan jangkaan EPS bagi tahun kewangan 2021 sebanyak 42.2% dengan mengambil kira pendapatan yang lebih rendah susulan wabak COVID-19 dan persaiangan di Indonesia.

 

"Kini, kami menjangkakan EPS meningkat sebanyak 11.8%, 28.9% dan 8.7% berbanding tahun sebelumnya.

 

"Prospek peningkatan ini hasil pertumbuhan pendapatan XL Axiata yang mencatatkan pertumbuhan pendapatan perkhidmatan mudah alih, Celcom, Dialog dan Robi," jelas CGS-CIMB Research.

 

Semalam, Axiata Group mengumumkan prestasi kewangan syarikat yang terpaksa menanggung kerugian bersih sebanyak RM255.96 juta bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2020, berbanding RM332.56 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Baca: Axiata catat kerugian bersih suku keempat RM255 juta

 

Perolehan bagi tempoh itu berada pada RM6.26 bilion, berbanding RM6.27 bilion untuk tempoh sama 2019 ekoran perolehan lebih rendah bagi operasi di Malaysia, Indonesia dan Nepal.

 

Dalam aspek dividen, kumpulan tersebut mengisytiharkan dividen pada suku keempat tahun kewangan 2020 sebanyak 5 sen.

 

MIDF Research yang mengulas perkara tersebut berkata, jumlah tersebut adalah 0.5% lebih tinggi berbanding suku sebelumnya.

 

"Ini menyebabkan dividen FY20 adalah sebanyak 7 sen seiring dengan pendapatan yang lebih lemah.

 

"Kami menjangkakan dividen akan meningkat lebih tinggi pada masa akan datang didorong oleh kedudukan tunai kumpulan yang lebih kukuh dan jangkaan pertumbuhan yang stabil," jelas MIDF Research.

 

MIDF Research mengekalkan saranan 'neutral' saham Axiata bersama harga sasaran sesaham (TP) bernilai RM3.80.

 

Bagaimanapun, CGS-CIMB Research meningkatkan penarafan saham kumpulan tersebut kepada 'tambah' dengan TP yang lebih rendah iaitu RM4.10. - DagangNews.com