Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 23 Nov. - CGS-CIMB Research mengambil pendekatan mengurangkan jangkaan perolehan sesaham (EPS) syarikat pembinaan EITA Resources Bhd. (EITA) sebanyak 15% hingga 24% bagi tahun kewangan 2021 hingga 2022.
CGS-CIMB Research berkata, pengurangan itu dilakukan setelah menilai kepada prestasi ekonomi semasa yang disebabkan oleh wabak COVID-19.
"Kita harus bersifat realistik dengan jangkaan kita kerana ekonomi berkemungkinan tidak akan berubah seperti sebelum era COVID-19.
"Oleh itu kami kurangkan EPS (EITA) bagi tahun kewangan 2021-2022 sebanyak 15% hingga 24% atas faktor jumlah pendapatan yang lebih rendah dalam segmen pemasaran selain mengurangkan margin keseluruhan," kata CGS-CIMB Research.
EITA mencatatkan jumlah keuntungan bersih sebanyak RM18.2 juta bagi tempoh tahun kewangan September 2020.
Keuntungan suku keempat September 2020 EITA melonjak 114.2% berbanding suku sebelumnya susulan pembukaan semula aktiviti ekonomi dalam tempoh perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) pada Jun.
Pendapatan syarikat berkenaan untuk tempoh tersebut juga meningkat 30.8% berbanding suku sebelumnya.
Peningkatan prestasi itu didorong oleh segmen perkhidmatan yang meningkat sebanyak 21% daripada suku sebelumnya dan jumlah keuntungan sebelum cukai pula meningkat sebanyak 64.3% berbanding suku terdahulu.
"Pemotongan EPS mengurangkan harga sasaran sesaham (TP) syarikat berkenaan kepada RM2.06.
"Kami mengulangi saranan 'tambah' saham EITA dengan harga TP yang lebih rendah itu," tambah CGS-CIMB Research lagi. - DagangNews.com