Era 'kritikal' industri sawit | DagangNews Skip to main content

Era 'kritikal' industri sawit

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

Tindakan Sime Darby Plantation Berhad (SDP) memulakan prosiding undang-undang ke atas sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang berpangkalan di Hong Kong sewajarnya membuka mata banyak pihak betapa 'kritikalnya' cabaran industri sawit pada era ini. 

 

Apa yang dibuat itu juga sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam sejarah 200 tahun SDP, ekoran dakwaan Pengarah Urusan Liberty Shared, Duncan Jepson mengenai penggunaan buruh paksa di ladang sawit syarikat gergasi perladangan itu.  

 

Dakwaan itu menyebabkan SDP dikenakan sekatan import oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS) berkuat kuasa 30 Disember 2020 lalu. 

 

Selain SDP, FGV Holdings Bhd. pada 30 September lalu turut dikenakan Perintah Pelepasan Tahan (WRO) ini dan syarikat perladangan ini telah mengambil pelbagai langkah bagi menangani isu berkenaan. 

 

 

Baca : SDP ambil tindakan undang-undang ke atas Liberty Shared

 

Baca :CBP : FGV ambil langkah sewajarnya

 

 

Meskipun dakwaan buruh paksa ini bukan isu baru, tetapi sekiranya dibiar tanpa sebarang tindakan sewajarnya, ia akan menjadi 'barah' kepada industri sawit negara.

 

Sektor ini secara dasarnya menjadi tunggak kepada ekonomi negara dan punca rezeki kepada lebih 450,000 pekebun kecil di seluruh negara. 

 

Pada Oktober lalu, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menegaskan AS merupakan pasaran penting bagi produk agrikomoditi Malaysia yang merupakan antara penyumbang terbesar kepada pendapatan eksport negara. 

 

Bagi tempoh Januari hingga Ogos 2020, jumlah eksport agrikomoditi ke negara berkenaan bernilai RM14.1 bilion.

 

Tahun lalu, industri minyak sawit negara menjana sekitar RM72.8 bilion melalui ekspot minyak sawit dan produk-produknya ke pasaran antarabangsa. 

 

Malah, jumlah ini jauh lebih tinggi (kira-kira 14.18% lebih tinggi) berbanding RM63.73 bilion yang dicatatkan pada 2019 dan tertinggi sejak 2017, berjumlah RM77.9 bilion. 

 

Status industri sawit sebagai satu daripada empat penyumbang terbesar ekonomi di Malaysia selama 15 hingga 18 tahun kebelakangan ini membuktikan bahawa industri minyak sawit sangat penting kepada negara kecil yang membangun seperti Malaysia. 

 

Dalam hal ini, Malaysia tidak boleh pandang remeh terhadap dakwaan sebegini yang dibangkitkan pihak luar. Kita tidak tahu niat mereka.

 

 

sawit

 

 

Rayuan kepada kerajaan

 

Pada 8 Mac lalu, 12 pemegang taruh yang mewakili pelbagai pihak dalam rantaian bekalan minyak sawit antaranya, pekebun kecil, pemilik ladang, syarikat perladangan, kilang sawit, penapisan minyak sawit, oleokimia dan pengeluar minyak boleh dimakan telah mengemukakan 3 rayuan utama kepada kerajaan. 

 

Mereka meminta supaya kerajaan memberi penjelasan mengenai situasi yang dihadapi industri ketika ini dan mahu kerajaan campur tangan dalam industri bagi menangani dan menyelesaikan segala cabaran tersebut. 

 

Isu utama yang dibangkitkan termasuklah kekurangan tenaga buruh, cukai baharu yang dilaksanakan dalam industri sawit dan menambahbaik akses pasaran bagi mengatasi kempen anti-minyak sawit.

 

Mengapa ketiga-tiga isu ini penting hingga mendorong mereka bergabung sebagai satu suara buat kali pertama? 

 

CGS-CIMB menyifatkan, ini adalah suara kebimbangan mereka terhadap kesejahteraan industri sawit sekiranya cabaran yang dihadapi tidak ditangani sewajarnya. 

 

Kenaikan harga minyak sawit mentah ketika ini sepatutnya memberi rahmat kepada pemain industri, tetapi apa yang berlaku sebaliknya.

 

Mengenai isu berkaitan akses pasaran, kebimbangan utama kini adalah kempen anti-minyak sawit yang digerakkan negara-negara barat, sekatan perdagangan (sekatan yang dikenakan CBP AS) serta jangkaan dan keperluan pematuhan tidak realistik, matlamat dan amalan kelestarian yang sentiasa berubah. 

 

Ini memerlukan kerajaan bekerjasama rapat dengan Indonesia dan pemain industri yang lain bagi meningkatkan persepsi terhadap minyak sawit negara dan sudah tentu ini akan mengambil masa kerana ia melibatkan banyak penglibatan dan pembelian dari negara lain, menurut analisis CGS-CIMB. 

 

Industri perladangan turut terjejas akibat pandemik COVID-19. Lebih memburukkan keadaan, sektor ini berdepan dengan kekurangan pekerja asing yang teruk apabila pengambilan tenaga buruh asing dibekukan bagi membendung penularan wabak itu. 

 

Sektor komoditi khasnya sawit, dianggarkan sebanyak 75% diisi oleh tenaga kerja asing sebelum ini.

 

Malah, dianggarkan kerugian yang dihadapi industri mencecah 3.4 juta tan metrik bagi pengeluaran minyak sawit mentah (merangkumi 18% daripada keseluruhan pengeluaran 2020) dan 860,000 tan metrik bagi pengeluaran minyak isirung sawit setahun. 

 

Dengan mengambil kira harga minyak mentah pada RM3,000 satu tan metrik, industri ini akan kehilangan hasil sebanyak RM11.8 bilion dan keuntungan RM4.37 bilion setahun.

 

Dalam pada itu, langkah kerajaan menaikkan cukai ses ke atas minyak sawit mentah dan minyak isirung sawit juga menjadi antara cabaran yang perlu dihadapi pemain industri sawit. 

 

Kadar ses ini dinaikkan bulan lalu sebanyak RM2 kepada RM16 satu tan metrik berbanding RM13 pada 2019 dan RM14 satu tan metrik pada 2020.

 

Kenaikan ini secara dasarnya memberi impak negatif yang lebih besar kepada pemain huluan berbanding pemain bersepadu memandangkan pemain huluan akan menanggung kos yang tinggi, jelas MIDF Research. 

 

Malah, pemain huluan mungkin berdepan cabaran untuk menyerahkan lebihan kos kepada pembeli akhir. 

 

Berdasarkan pandangan CGS-CIMB, permintaan industri untuk membenarkan semula kemasukan pekerja asing ini dijangka mendapat perhatian kerajaan tetapi perlu mematuhi syarat pengambilan pekerja dan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

 

Bagaimanapun, 2 lagi rayuan terhadap kerajaan dilihat sukar untuk direalisasikan dan mungkin memerlukan tempoh masa tertentu. 

 

 

sawit

 

 

Cabaran industri 

 

Setelah harga minyak sawit mentah menyaksikan kenaikan sejak beberapa bulan lalu hingga mencapai paras tertinggi sejak sedekad lalu, pemain industri kini perlu bertahan menghadapi cabaran pada masa akan datang. 

 

Walaupun stok minyak sawit mentah yang rendah melonjak kenaikan harga sehingga RM4,000 satu tan metrik, tetapi momentum harga ini tidak mampu kekal dalam tempoh yang lama. 

 

Malah, penganalisis berpendapat pengeluaran minyak sawit akan kembali pulih dalam beberapa bulan akan datang dan menyaksikan harganya diniagakan lebih tinggi tahun ini berbanding pada 2020.

 

Kenanga Research, mengekalkan saranan neutral ke atas sektor perladangan dengan unjuran harga tidak berubah pada RM3,000 satu tan metrik. 

 

"Bagi Mac, kami menjangkakan pengeluaran kembali pulih dengan meningkat 8.5% bulan ke bulan manakala eksport juga meningkat 9.4% bulan ke bulan menjelang Ramadan," katanya.  

 

Sementara itu, MIDF Research mengunjurkan paras inventori kekal berada di bawah 2 juta tan metrik ekoran tempoh pengeluaran yang perlahan. 

 

"Malah, kami juga percaya, situasi bekalan minyak sawit yang ketat akan kekal sehingga suku pertama 2021, dengan mengambil kira pengeluaran lemah ketika pengeluaran puncak," tambahnya. 

 

Penganalisis Maybank IB Research, Ong Chee Ting pula berkata, harga minyak sawit mentah yang tinggi mungkin mencapai atau menghampiri puncak walaupun kekangan bekalan akan mengekalkan harga tinggi lebih lama sedikit. 

 

Jika tiada gangguan cuaca, risiko harga akan berdepan penurunan pada suku kedua ini tetapi ia lebih kepada separuh kedua 2021 apabila pengeluaran meningkat dengan kukuh. 

 

Selain faktor cuaca dan harga, eksport minyak sawit Malaysia juga jatuh ke paras 14 tahun terendah pada Februari, dengan pengurangan 5.5% bulan ke bulan hampir 900,000 tan metrik. 

 

Data eksport juga adalah rendah berbanding unjuran pasaran sebanyak 950,000 hingga 1.05 juta tan metrik. 

 

Kesemua negara utama eksport seperti China, India dan AS juga menunjukkan permintaan yang rendah kecuali bagi negara-negara Eropah meningkat 11.1% kepada 108,000 tan metrik. 

 

KPPK turut mengunjurkan pengeluaran minyak sawit mentah tahun ini meningkat kepada 19.70 juta tan metrik berbanding 19.14 juta tan pada 2020. - DagangNews.com