Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 8 Julai - Digital Nasional Berhad (DNB) menegaskan pemilihan Ericsson (Malaysia) Sdn Bhd (Ericsson) sebagai rakan strategik dalam pembangunan teknologi 5G perlu melalui pemilihan yang ketat.
Penjelasan ini sekali gus menepis pelbagai dakwaan yang bertebaran di media sosial selepas pelantikan firma dari Sweden itu diumumkan 2 Julai lalu.
Jelas DNB dalam kenyatan hari ini, proses tender itu distrukturkan oleh firma perkhidmatan profesional bebas, Ernst & Young Consulting Sdn. Bhd. (EY Consulting).
Ia melalui proses tender yang kompetitif bermula April lalu, tambahnya.
"Dengan berpandukan kepada standard global, ia melibatkan 4 panel terdiri daripada 50 pakar tempatan dan antarabangsa merentasi 10 buah negara yang mempunyai pengalaman dalam rangkaian 5G.
"Proses ini bermula penilaian peringkat awal oleh 14 Penyedia Perkakasan Rangkaian (NEP) selepas 8 disenarai pendek dan dijemput untuk membida tender ini," katanya.
Menurutnya, kriteria yang dinilai apabila NEP disenarai pendek termasuklah terbukti berjaya dalam pembangunan 5G dan pelaksanaan penyelesaian teknologi termaju, ketersediaan keselamatan yang dipertingkatkan untuk melindungi pengguna dan platform dan mempunyai kehadiran di Malaysia dengan memahami ekosistem persekitaran perniagaan termasuk rangkaian vendor sedia ada.
Baca : Kerajaan pilih Ericsson bangunkan 5G dengan kos RM11 bilion
Proses itu turut mengambil kira antara lain, sumber tempatan untuk penggunaan segera dan pelan berkesan untuk pemindahan pengetahuan yang akan diperoleh oleh sekutu domestik.
"Daripada 8 yang dijemput, hanya 4 yang mengemukakan bidaan mereka," jelas DNB.
Ia memberitahu, pasukan penilai tender terdiri daripaa pakar industri dalam dan luaran dan mempunyai pengalaman profesional.
"Keputusan yang diperoleh ini kemudiannya dibincangkan secara teliti oleh Jawatankuasa Lembaga tender dan Lembaga DNB.
"Standard tadbir urus yang ketat dilaksanakan sepanjang proses ini seperti dinasihatkan oleh EY Consulting," katanya.
Sehubungan itu, katanya, Ericsson menjadi pilihan utama berdasarkan 3 komponen utama dengan memenuhi kriteria dari segi teknikal (meliputi keupayaan teknologi 5G secara menyeluruh), komersial (merangkumi cadangan pembiataan dan jumlah kos pemilikan) dan sosioekonomi (meliputi impak pembangunan tempatan dan sosioekonomi).
Baca : Ericsson komited bangunkan 5G di Malaysia
Minggu lalu, DNB mengumumkan pelantikan Ericsson selepas pelaksanaan bidaan tender yang bermula Mac lalu.
DNB menjalin kerjasama dengan Ericsson dalam usaha mempercepat pelaksanaan 5G dan membolehkan matlamat liputan penduduk sebanyak 80% dapat dicapai menjelang 2024.
Reka bentuk dan pembangunan rangkaian 5G negara akan dilaksanakan oleh Ericsson dengan kos bernilai RM11 bilion, termasuk sewaan menara serta pajakan gentian.
Lebih 60 peratus daripada jumlah itu dijangka dapat dimanfaatkan oleh kontraktor bumiputera serta warga Malaysia lain bagi tempoh 10 tahun akan datang.
DNB adalah syarikat tujuan khas (SPV) yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan bagi membangunkan, memiliki serta menjalankan operasi prasarana 5G Malaysia.
Dalam pada itu, DNB turut menjelaskan pembiayaan perkakasan rangkaian bagi pembangunan teknologi 5G di negara ini adalah melalui sumber institusi kewangan asing dan juga domestik.
"DNB akan menjamin aliran tunai masa depan menerusi perniagaan borongnya Operator Rangkaian Mudah Alih (MNO) melalui sukuk bagi membiayai perbelanjaan operasi rangkaian dan memenuhi obligasi untuk membayar semula pembiaya kewangan apabila sampai tempohnya.
"Oleh itu, ia tidak melibatkan dana kerajaan bagi pelancaran rangkaian 5G," katanya.
Sehubungan itu, DNB berharap dapat bekerjasam rapat dengan semua pihak termasuk kerajaan, industri, perniagaan dan rakyat dalam memenuhi keperluan 5G bagi menyemarakkan ekonomi digital negara pada masa hadapan. - DagangNews.com