Evergreen dalam landasan capai momentum pertumbuhan pendapatan positif FY22 | DagangNews Skip to main content

Evergreen dalam landasan capai momentum pertumbuhan pendapatan positif FY22

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 

KUALA LUMPUR 13 Jan - Disebalik penggunaan kapasiti yang dikurangkan, peningkatan kos serta musim hujan yang berterusan bagi suku keempat 2021 (4Q21), Evergreen Fibreboard Bhd (Evergreen) masih berada pada trajektori pertumbuhan pendapatan yang positif.

 

Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research berkata, ini kerana permintaan yang teguh dan peningkatan harga purata jualan (ASP) bagi papan panel dan pasaran perabot dapat mengatasi cabaran jangka pendek berkenaan.

 

Firma penganalisis itu menjangkakan kos dan bekalan kayu getah akan mula normal apabila keadaan cuaca bertambah baik dan kos gam mungkin mula berkurangan mulai Februari dan seterusnya. 

 

"Di samping itu, pengambilan buruh asing harus memberikan peningkatan yang lebih tinggi kepada segmen sedia dipasang (RTA). 

 

"Dengan jangkaan perubahan dalam segmen Malaysianya pada 4Q21 dan sumbangan positif yang berterusan daripada operasi serantaunya disokong oleh sebab-sebab yang dinyatakan di atas kami percaya Evergreen berada di landasan yang betul untuk memberikan keputusan yang membanggakan pada 4Q21, dengan momentum pertumbuhan pendapatan kekal sehingga FY22," katanya dalam nota penyelidikannya di sini hari ini.

 

Evergreen merekodkan keuntungan bersih teras 3Q21 sebanyak RM2.6 juta (QoQ: -2.3%; YoY: +3.4%), yang menjadikan jumlah pendapatan 9M21 kepada RM12.8 juta.

 

Operasi serantaunya mencatatkan peningkatan besar yang membantu mengurangkan kerugian daripada operasinya di Malaysia akibat pemberhentian pengeluaran selama 2 bulan. 

 

Thailand mencatatkan PBT RM15.7 juta (+2.7x QoQ; 3Q20: -RM2.4 juta), manakala Indonesia mencatatkan PBT RM4.8 juta (+1.1x QoQ; +1.5x YoY). 

 

Peningkatan dalam operasi Thailand adalah disebabkan oleh peningkatan dalam ASP; permintaan eksport yang bertambah baik daripada pasaran Asia Barat; dan lencongan pesanan separa dari Malaysia.

 

"Penambahbaikan Indonesia didorong oleh jualan yang lebih kukuh ke pasaran tempatan, yang memberikan margin yang lebih menarik berbanding pasaran eksport," katanya. -DagangNews.com