Evergreen Fibreboard akan salur lebih banyak tempahan eksport ke Thailand dan Indonesia | DagangNews Skip to main content

Evergreen Fibreboard akan salur lebih banyak tempahan eksport ke Thailand dan Indonesia

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Sept - Evergreen Fibreboard Berhad akan menyalurkan lebih banyak tempahan eksport ke Thailand dan Indonesia bagi memanfaatkan bekalan kayu dengan kos rendah serta berkualiti.

 

Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research berkata, walaupun bekalan kayu di Malaysia semakin baik berbanding 1HFY22 tetapi ia masih belum mencukupi dan ia menyebabkan kualiti kayu yang lebih rendah dan peningkatan kos pembuatan peningkatan harga.

 

Katanya, kumpulan itu juga akan terus memperkemaskan operasinya untuk meningkatkan penggunaan automasi bagi mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja manual.

 

"Bagi berhadapan peningkatan kos elektrik, kumpulan itu berjaya melengkapkan pemasangan panel solar di ibu pejabatnya bagi membolehkan mereka membayar tarif jauh lebih rendah daripada tarif standard yang dikenakan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

 

"Kumpulan itu akan terus memasang panel solar di tapak lain.

 

"Selain itu, kumpulan itu juga sedang berusaha untuk mengurangkan struktur kos serta mempelbagaikan pasaran eksport produk hilirannya ke lebih banyak negara bagi berhadapan permintaan perabot yang tidak stabil ketika ini," katanya dalam satu nota kajian.

 

Firma itu berkata, ketegangan antara Amerika Syarikat (AS) - China terus memberi manfaat kepada kumpulan kerana pembeli perabot AS akan mengalihkan tumpuan mereka daripada China kepada negara-negara Asia Tenggara termasuk Malaysia.

 

Ia membuatkan pembuat perabot dari China keluar dari negara itu dan membuka kilang di Asia Tenggara yang dilihat positif kepada kumpulan kerana mereka berpotensi menjadi pelanggan baharu syarikat bagi membekalkan papan panel kepada Malaysia.

 

"Dari segi kos, kami difahamkan bahawa kos gam telah menurun dan akan memberi kesan positif kepada margin keuntungan kumpulan secara keseluruhan," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) lebih rendah iaitu 82 sen berbanding 96 sen. - DagangNews.com