PULAU PINANG 1 Mac 2022 - Exabytes, penyedia perkhidmatan lengkap Teknologi Digital, e-Dagang dan Perniagaan Berasaskan Awan yang terkemuka di Asia Tenggara meneruskan usahanya untuk melebarkan peluang kepada perniagaan-perniagaan milik golongan wanita menerusi pelancaran inisiatif `Percepatkan Keusahawanan Wanita bersama Exabytes 2022’ sempena Hari Wanita Sedunia 2022.
Inisiatif ini disokong oleh EXCO Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam Pulau Pinang, Chong Eng yang turut hadir pada sidang media secara maya.
Dengan slogan #WomenWeCan, inisiatif ini akan berlangsung untuk tahun kedua bermula dari Februari 2022 sehingga Jun 2022.
Exabytes, yang berpengalaman membantu lebih daripada 160,000 perniagaan berkembang secara dalam talian selama 21 tahun, meneruskan misinya untuk merancakkan semangat keusahawanan dengan membekalkan sekurang-kurangnya 200 usahawan wanita daripada Malaysia dan Singapura dengan teknologi dan alat-alat perniagaan digital bagi berdepan cabaran dalam perniagaan mereka.
Exabytes akan menaja sejumlah RM400,000 atau $400,000 dalam bentuk produk dan perkhidmatan untuk inisiatif ini di Malaysia dan Singapura.
Kejayaan inisiatif #WomenWeCan pada 2021 menginspirasikan Exabytes untuk meneruskan inisiatif sama pada tahun ini.
Pada 2021, Exabytes berjaya melahirkan 100 orang usahawan wanita dengan laman web perniagaan dan kedai dalam talian melibatkan jumlah RM350,000 atau $350,000 di Malaysia dan Singapura.
Ketua Pegawai Eksekutif & Pengasas Kumpulan Exabytes, Chan Kee Siak optimis bahawa inisiatif ini akan memperkasa dan memberikan impak kepada lebih ramai usahawan wanita dalam perjalanan mereka untuk membangunkan perniagaan dalam talian yang berjaya.
Usaha-usaha pelbagai pihak dan pertubuhan bagi menggalakkan lebih ramai penduduk untuk menceburi bidang keusahawanan mula membuahkan hasil dengan peningkatan bilangan usahawan di Malaysia dan Singapura tanpa mengira jantina.
Walaupun usahawan-usahawan wanita semakin mendapat tempat sebagai penggiat penting dalam landskap keusahawanan, namun bilangan mereka masih lagi kecil berbanding golongan lelaki yang memiliki perniagaan.
“Selari dengan tema Hari Wanita Sedunia tahun ini iaitu #BreakTheBias, serta piawaian Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus Korporat (ESG) dalam memupuk serta memudah cara sebuah persekitaran yang mengangkat kepelbagaian dan keterangkuman wanita dalam tenaga buruh, inisiatif ini bermatlamat untuk mempromosikan kesaksamaan taraf antara lelaki dan wanita dalam arena keusahawanan,’’ kata Chan.
Di samping itu, ia juga dijangka akan menggalakkan aspek kebebasan dan jaminan kewangan dalam kalangan suri rumah yang menceburi bidang perniagaan.
Langkah ini diharap akan menjadi suri teladan kepada wanita-wanita muda dan menyuntik keyakinan dalam diri mereka untuk berniaga dan menjalani kehidupan.
‘’Pada dasarnya, kami ingin memperkasakan komuniti menerusi wanita-wanita yang menjadi sumber inspirasi kerana merekalah tonggak masyarakat di rumah dan di tempat kerja.”
Disokong oleh EXCO Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam Pulau Pinang bagi tahun kedua secara berturut-turut, inisiatif ini ialah satu kesinambungan kepada usaha untuk memesatkan terima guna teknologi digital dalam kalangan PKS dan pemilik-pemilik perniagaan wanita.
Berbeza dengan inisiatif terdahulu yang memberikan peserta sebuah laman web yang sedia untuk digunakan, bagi pusingan kali ini, usahawan-usahawan yang terlibat akan berpeluang untuk membina sendiri laman web mereka menerusi sebuah bengkel dengan dua modul yang diadakan secara percuma.
Bengkel "Bagaimana Cara Membina Sebuah Laman Web dalam Masa Dua Hari" diadakan dengan kerjasama PolarisHub yang akan memberikan latihan tersebut sepanjang tempoh inisiatif.
Bengkel selama dua hari ini akan berlangsung dalam lima sesi berbeza dari Februari hingga Jun 2022.
Percepatkan Keusahawanan Wanita bersama Exabytes akan berlangsung sepanjang Februari sehingga Jun 2022 dan ia terbuka kepada semua wanita di Malaysia dan Singapura.
Lawat https://www.exabytes.my/women-entrepreneurship atau https://www.exabytes.sg/women-entrepreneurship untuk maklumat lanjut program, syarat-syarat penyertaan, dan pendaftaran. – DagangNews.com