ExecuJet MRO Services Malaysia selesaikan penyelenggaraan penuh pesawat Falcon 2000 | DagangNews Skip to main content

ExecuJet MRO Services Malaysia selesaikan penyelenggaraan penuh pesawat Falcon 2000

.

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 24 Jun - ExecuJet MRO Services Malaysia berjaya menyelesaikan pemeriksaan penyelenggaraan penuh  C-Inspection yang pertama bagi pesawat Falcon 2000.

 

Kejayaan tersebut sekali gus mengukuhkan lagi status Malaysia sebagai pusat penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih pesawat (MRO) yang unggul di Asia Pasifik.

 

Penyelenggaraan penuh C-Inspection adalah penyelenggaraan utama merangkumi pemeriksaan struktur dan sistem pesawat.

 

Perkara tersebut adalah sama dengan pemeriksaan utama yang dilakukan oleh ExecuJet MRO Services pada produk Bombardier dan Gulsftream.

 

Varian khusus pesawat Falcon 2000 yang diselesaikan ExecuJet MRO Services melalui C-Check adalah Falcon 2000LXS.

 

.

 

Malaysia Regional VP Asia, Ivan Lim berkata, pengendali pesawat Dassault Falcon di seluruh Asia Pasifik telah memberi kepercayaaan kepada pihaknya untuk mengawal selia pesawat sekali gus menjadi sebahagian daripada 
Dassault MRO Network.

 

"Sebelum ini, beberapa pemeriksaan penyelenggaraan yang lebih berat sering dibuat di Amerika Utara atau Eropah, tetapi kami melihat perubahan di mana pengendali mencari jalan untuk membuat pemeriksaan di rantau ini, lebih-lebih lagi pada masa sekatan sempadan di pelbagai negara.

 

"Kami gembira dapat memberi perkhidmatan berkenaan dan semakin semakin bertambah urusan penyelenggaraan yang bernilai tinggi datang kepada kami di Malaysia," katanya lagi.

 

ExecuJet MRO Services Malaysia yang berpusat di Subang Airport menjadi anak syarikat milik penuh Dassault Aviation pada awal 2019.

 

Anak syarikat berkenaan merupakan pengendali MRO penerbangan perniagaan yang terbesar di Malaysia.

 

.

 

Selain itu, syarikat berkenaan turut tersenarai antara MRO yang terbesar di rantau Asia Pasifik.

 

Syarikat berkenaan menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan kecil dan penuh untuk pelbagai jenis pesawat daripada pelbagai pengeluar pesawat perniagaan termasuk Bombardier dan Gulfstream.

 

Falcon 2000 pula merupakan pesawat perniagaan bersaiz sederhana dan menjadi pilihan kebanyakan pengendali di Asia Pasifik.

 

Pesawat berkenaan adalah jenis Falcon yang paling popular di rantau tersebut dengan jumlah lebih 40 pesawat yang dikendalikan.

 

Secara keseluruhannya, tedapat lebih 100 Falcon dalam pelbagai jenis di Asia Pasifik. - DagangNews.com