Expo 2020: Pavilion Malaysia tarik ratusan ribu pengunjung | DagangNews Skip to main content

Expo 2020: Pavilion Malaysia tarik ratusan ribu pengunjung

DUBAI 25 Nov - Pavilion “Sudur Hutan Hujan” Malaysia di Expo 2020 Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) menarik ratusan ribu pengunjung sejak ia dibuka secara rasmi kepada orang awam 1 Oktober lepas.

 

Pengarah Pavilion Malaysia, Michelle Lau Sook Yee berkata, Pavilion Sudur Hutan Hujan itu merupakan satu bukti kepada komitmen padu Malaysia terhadap perlindungan alam sekitar dan pembangunan lestari.

 

“Angka pengunjung ke pavilion kita mencecah enam digit …  kami masih mengumpul angka sebenar dan ia akan diumumkan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) kemudian, kata beliau kepada Bernama di luar program minggu perniagaan dan perdagangan Malaysia bertemakan “NCER:  Your Preferred Investment Destination in Malaysia” yang dihoskan oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) pada Rabu.

 

Pavilion berkeluasan 1,234 meter persegi itu bertemakan  "Energising Sustainability" ialah pavilion karbon sifar bersih pertama di Expo 2020 Dubai.

 

Lau berkata di Pavilion Malaysia, pelawat akan dibawa menyusuri perjalanan Malaysia memulihara hutan rimbanya dan membangunkan sektor komoditi pertanian lestari yang membentuk pembangunan sosioekonomi negara.    

 

“Faktor mengapa kita mempamerkan hutan hujan di sebelah pameran pembangunan komoditi pertanian lestari ialah untuk menyediakan kisah yang dikemas kini mengenai dasar pengurusan guna tanah negara yang berpandangan jauh sejajar dengan komitmen kita ke arah mengimbangi pembangunan ekonomi dan melindungi alam sekitar. 

 

“Malaysia mengiktiraf  dan menghargai peranan hutan hujan kita sebagai paru-paru planet dan kepentingan ini tidak pernah menjadi lebih penting dari masa ini dengan cabaran perubahan cuaca.  Kita berbangga sebagai sebuah negara tropika yang mengiktiraf kepentingan ini sejak awal lagi dan kita komited untuk melindungi biosfera purba ini untuk manusia,” katanya.


 

Pengarah Pavilion Malaysia, Michelle Lau Sook Yee
Pengarah Pavilion Malaysia, Michelle Lau Sook Yee

 


Beliau berkata, pihak Pavilion Malaysia menyasarkan untuk memberi inspirasi kepada pengunjung dengan merasai sendiri layanan baik Malaysia dan kepelbagaian biologi hutan hujan yang mengasyikkan selain daripada mempamerkan usaha negara untuk pembangunan merentas pelbagai industri secara lestari dalam jangka masa panjang.

 

Amalan lestari di Malaysia adalah pameran utama dalam segmen pertama barang pameran pavilion itu dan pelawat akan dapat mengenali usaha jangka panjang Malaysia dalam pengurusan guna tanah dan pemuliharaan hutan.

 

Selepas pameran hutan hujan, pengunjung akan dibawa ke bilik seterusnya yang mempamerkan komoditi pertanian lestari dan kemudian ke sebuah bilik dipenuhi barisan cahaya pemancar diod (LED) yang memaparkan hala tuju pembangunan masa hadapan Malaysia dengan bantuan sains, teknologi dan inovasi. 

 

Satu lagi pameran menarik ialah Kiub LED gergasi yang tergantung dan mengeluarkan visual tiga dimensi (3D) mengenai transformasi syarikat minyak dan gas negara, Petroliam Nasional Bhd (Petronas) termasuk sasaran pelepasan sifar bersihnya menjelang 2050.


 

dubai

 


Dewan pameran lain mengetengahkan pelaksanaan kerangka bandar raya pintar untuk membimbing pembandaran lestari sementara pameran terakhir menunjukkan rangkaian pintar yang menggambarkan integrasi teknologi digital untuk bergerak seiring tadbir urus, pengurusan sumber, perlindungan alam sekitar, mobiliti dan perdagangan.

 

MOSTI merupakan kementerian peneraju untuk penglibatan semua pihak dari Malaysia dalam Expo 2020 Dubai dan agensi pelaksananya ialah  Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC).

 

Malaysia menganjurkan 26 program mingguan perniagaan dan perdagangan bertema yang dikurasi khusus merentas 10 industri utama. 

 

Program mingguan ini dipimpin dan disokong oleh 21 kementerian, lima kerajaan negeri dan 70 agensi dengan kira-kira 300 syarikat menyertai program ini sebagai delegasi perniagaan untuk meneroka perdagangan global dan peluang perniagaan. - DagangNews.com