Faedah rendah, lebih ramai akan terus meminjam | DagangNews Skip to main content

Faedah rendah, lebih ramai akan terus meminjam

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 2 Julai - Di sebalik persekitaran mencabar, pinjaman isi rumah akan terus meningkat terutama bagi pembeli rumah dan kenderaan apatah lagi dengan kadar faedah rendah ketika ini. 

 

Namun, situasi berbeza bagi pinjaman perniagaan yang dilihat terkesan akibat pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak COVID-19.

 

Penganalisis Kenanga Research, Clement Chua berkata, permintaan bagi segmen itu lebih terjejas apabila PKP menyebabkan punca pencarian mereka terancam, apatah lagi insentif yang diberikan untuk mereka beroperasi hanyalah kecil.

 

"Berdasarkan langkah sekatan sebelum ini, ia mungkin menyebabkan berlakunya bayaran tertunggak dan merencatkan momentum pemulihan ekonomi. 

 

"Sekurang-kurangnya dalam tempoh sederhana, kami yakin selagi program vaksinasi dapat berjalan lancar, prospek ekonomi akan lebih kukuh pada separuh kedua ini," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Kenanga Research sebelum ini telah mengurangkan unjuran pertumbuhan pinjaman kepada 3 hingga 4% berbanding 4 hingga 5% bagi tahun ini. 

 

Firma itu turut menyemak semula unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada 5 hingga 6% berbanding 6 hingga 7%, lebih rendah berbanding unjuran Kementerian Kewangan, 6.5 hingga 7.5%. 

 

Anggaran ini dibuat berdasarkan kepada permintaan domestik yang masih rendah terutamanya segmen peruncitan dan penutupan sektor ekonomi tidak penting. 

 

Setakat Mei 2021, pinjaman berkembang 3.9% tahun ke tahun didorong oleh prospek ekonomi yang lebih baik berbanding PKP 1.0 tahun lalu.

 

Bagaimanapun, Clement menjangkakan baki tahun ini akan menyaksikan berlakunya ketidaktentuan ekoran PKP penuh yang masih berlanjutan sehingga kes jangkitan turun di bawah 4,000. 

 

Secara keseluruhan, Kenanga Research mengekalkan saranan 'neutral' bagi sektor ini dengan pilihan utamanya pada saham Maybank, dengan harga sasaran (TP: RM10.75).

 

Maybank memiliki hasil dividen industri antara 7 hingga 8% manakala dividen kepada pulangan ke atas ekuiti (ROE) menyediakan penampan mencukupi bagi pelabur di tengah-tengah persekitaran makroekonomi yang tidak menentu.

 

Nisbah nilai kasar pinjaman yang terpaksa dilaraskan bank (GIL) bagi Maybank juga adalah masih saksama dalam kalangan purata industri (2.2%) yang menunjukkan bank mempunyai kualiti aset yang baik.

 

Dalam pada itu, BIMB (TP : RM5.10) juga menjadi tumpuan memandangkan langkah penstrukturannya dijangka dimuktamadkan pada suku ketiga ini. 

 

Ini secara tidak langsung akan meningkatkan nilai dalam kalangan pelabur, terutama apabila Bank Islam disenaraikan.

 

Peruntukan Bank Islam dalam program bantuan bersasar yang rendah mencerminkan daya tahan bank pada masa akan datang. - DagangNews.com