Fajarbaru terima kontrak bernilai RM11.04 juta daripada Jabatan Pertahanan Australia | DagangNews Skip to main content

Fajarbaru terima kontrak bernilai RM11.04 juta daripada Jabatan Pertahanan Australia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Mac - Fajarbaru Builder Group Bhd menerusi Fajarbaru Builder Sdn Bhd bersama Avionics Pty Ltd menerima kontrak bernilai RM11.04 juta daripada Jabatan Pertahanan Australia bagi fasa penghantaran (kerja awal) bagi kerja-kerja membangunkan semula kemudahan di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Butterworth, Pulau Pinang.

 

Katanya, kontrak itu akan meluaskan lagi penglibatan kumpulan itu dalam reka bentuk dan pembinaan projek infrastruktur untuk membangunkan semula kemudahan itu.

 

Pada 10 Julai 2023, kedua-dua syarikat itu dianugerahkan Kontrak Utama (Antarabangsa) Dua Fasa daripada Jabatan Pertahanan Australia, untuk membangunkan semula kemudahan pajakan Australia dan kemudahan Malaysia di Pangkalan TUDM Butterworth.

 

Bagi Fasa Perancangan projek, bahagian kontrak Fajarbaru pada mulanya mempunyai nilai RM7.36 juta dan pada 11 Januari 2024, Fajarbaru mengumumkan bahawa nilai bahagian itu telah disemak semula kepada RM12.30 juta selepas mengambil kira kerja tambahan.

 

Dengan pengumuman hari ini, jumlah nilai kerja Fajarbaru yang diperoleh bagi projek itu kini berjumlah RM23.34 juta setakat 15 Mac 2024. 

 

fajarbaru
Tan Sri Chan Kong Choy

 

Kerja Awal, yang berada di bawah Fasa Penghantaran projek, akan bermula pada 18 Mac 2024 dan dijadualkan siap pada 21 November 2024.

 

Pengerusi Eksekutif Kumpulan Fajarbaru, Tan Sri Chan Kong Choy berkata, projek baharu itu adalah satu lagi pengesahan terhadap kedudukan kami sebagai rakan kongsi yang dipercayai dalam projek infrastruktur kritikal dan pada masa sama percaya kumpulan ini berada di kedudukan baik untuk menyampaikan keputusan luar biasa.

 

 

"Dalam jangka masa panjang, kami percaya bahawa projek ini akan menjadi penyumbang penting kepada pendapatan kami. 

 

"Kami terus mencari peluang untuk mengembangkan lagi penglibatan kami dalam projek ini, dengan membida lebih banyak pakej dengan tumpuan pada perniagaan nilai tambah dan rundingan.

 

"Kami berterima kasih kepada Jabatan Pertahanan Australia atas kepercayaan mereka terhadap keupayaan kami dan berharap dapat bekerjasama rapat dengan mereka untuk menjayakan projek ini."- DagangNews.com