FAMA Terengganu sasar jualan RM50 juta melalui Agrobazaar Rakyat dan Agrobazaar Kedai Rakyat tahun ini | DagangNews Skip to main content

FAMA Terengganu sasar jualan RM50 juta melalui Agrobazaar Rakyat dan Agrobazaar Kedai Rakyat tahun ini

ABR milik Suliana Sulong semakin maju selepas mendapat bantuan FAMA Terengganu. - Gambar DagangNews.com
oleh HUSNA ABDULLAH

KUALA TERENGGANU 7 Sept – Usahawan-usahawan mengakui hidup mereka berubah lebih baik selepas mendapat bantuan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk menjalankan perniagaan kedai runcit secara lebih tersusun,  kemas dan berdaya saing.

 

Usahawan, Suliana Sulong, 46, berkata dia berasa bertuah kerana permohonannya menaik taraf kedai runcitnya kepada Agrobazaar Kedai Rakyat (AKR) di Kampung Darat Pak Chan dekat Marang diterima oleh FAMA dan jualannya terus meningkat kepada hampir RM300,000 setiap bulan ketika ini.

 

"Memang banyak beza sebelum dan selepas kerana FAMA menyalurkan pelbagai peruntukan dan bantuan di kedai runcit ini agar ia setaraf dengan rangkaian kedai berjenama terkenal di luar sana.

 

"Sebelum ini saya bertugas sebagai ustazah Kelas Agama Fardhu Ain (KAFA) namun perkembangan AKR yang terlalu pantas menyebabkan saya berhenti kerja pada awal Mei lalu untuk memberi tumpuan sepenuhnya terhadap perniagaan," katanya yang kini mempunyai 10 pekerja untuk membantu operasi di kedai.

 

 

Suliana Sulong
                                             Suliana Sulong

 

 

Seorang lagi usahawan, Alizawati Abdullah berkata, perniagaannya berkembang maju selepas dinaik taraf sebagai Agro Bazar Rakyat (ABR) dan menerima pelbagai bantuan dari FAMA.

 

"Sebelum ini, kedai kami ala kadar sahaja... keuntungan pun tidak begitu memberangsangkan. Kedai pun tak cantik mana sebab saya tak boleh ubah suai...kosnya terlalu mahal.

 

"Alhamdulillah, selepas mendapat bantuan daripada FAMA empat tahun lalu, perniagaan saya semakin maju dan pelanggan pun terus meningkat kerana kualiti produk jualan yang terjamin dan harga lebih murah ditawarkan," katanya yang mendapat purata jualan antara RM60,000 hingga RM70,000 setiap bulan.

 

 

Alizawati Abdullah
                             Alizawati Abdullah


 

Sementara itu, Pengarah FAMA Terengganu, Nukman Hashim berkata, FAMA menyasarkan lebih RM50 juta jualan membabitkan Agro Bazar Rakyat (ABR) dan Agrobazaar Kedai Rakyat (AKR) sepanjang tahun ini.

 

Setakat ini ujar beliau, terdapat 18 outlet ABR dan 19 outlet AKR di seluruh Terengganu yang dimiliki oleh usahawan anak tempatan.

 

"Sehingga Ogos, nilai jualan ABR dan AKR telah pun mencapai RM39.85 juta dan kita yakin semua usahawan ini mampu mencapai sasaran jualan yang ditetapkan sehingga Disember depan.

 

"Pada masa sama, FAMA juga menggandakan promosi dan publisiti untuk menggalakkan orang ramai berkunjung ke semua outlet ABR dan AKR untuk mendapatkan pelbagai barangan keperluan harian dengan harga murah hingga 20 peratus berbanding harga pasaran di sekitarnya," katanya.

 

 

Nukman Hashim
                       Nukman Hashim

 

 

Penubuhan ABR dan AKR adalah inisiatif Kementerian Pertanian & Industri Makanan (MAFI) dalam mengurangkan lapisan orang tengah yang mengeksploitasi pasaran melalui pengawalan bekalan dan permintaan sehingga memberi kesan ke atas harga jualan produk makanan.

 

Nukman berkata, matlamat penubuhan ABR adalah sebagai outlet runcit yang membeli dan menjual hasil-hasil pertanian secara terus dari sumber pengeluaran kepada pengguna manakala AKR adalah sebagai tempat mengumpul, membeli dan menjual hasil-hasil pertanian yang diusahakan oleh petani kecil dan masyarakat kampung.

 

"Kedua-dua outlet ini juga mempunyai keseragaman identiti dari segi reka bentuk papan tanda, warna cat premis, peralatan serta susun atur barangan jualan agar lebih mesra pengguna," katanya. – DagangNews.com