Farm Fresh miliki kelebihan berbanding pesaing lain, penilaian Inter-Pacific pada RM1.52 sesaham dianggap wajar | DagangNews Skip to main content

Farm Fresh miliki kelebihan berbanding pesaing lain, penilaian Inter-Pacific pada RM1.52 sesaham dianggap wajar

Farm Fresh tidak lama lagi akan melangkah ke Bursa Malaysia. - Gambar : Facebook Farm Fresh
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 15 Mac - Inter-Pacific Research memberi penilaian wajar (FV) RM1.52 terhadap Farm Fresh Bhd. berikutan kedudukannya yang kukuh dalam industri tenusu di Malaysia. 

 

Syarikat itu yang sebelum ini dikenali sebagai The Holstein Milk Company Sdn. Bhd. diperbadankan di Malaysia pada 24 Mac 2010. 

 

Ia kemudiannya menukar nama kepada Farm Fresh pada 2021 dalam usahanya menyertai Papan Utama Bursa Malaysia. 

 

Ketika ini kumpulan mengendalikan 5 ladang tenusu di Malaysia dan 1 di Australia dengan kepelbagaian produknya merangkumi produk susu sedia untuk diminum (RTD) sejuk, susu UHT/ambien RTD, produk berasaskan tumbuhan, yogurt hinggalah jem buah dan sos.

 

"Kami menilai Farm Fresh pada RM1.52, diperoleh daripada menambat 27x sasaran nisbah harga kepada pendapatan (PER) bagi pendapatan sesaham (EPS) bagi tahun kewangan 2023 (FY23) sebanyak 5.6 sen. 

 

"Penilaian PER kami sebanyak 27x adalah kurang sedikit daripada purata 28x pemain yang setara,  terutama Nestle, Dutch Lady dan Fraser & Neave (F&N)," katanya dalam nota kajian bertarikh 14 Mac.

 

 

farm fresh

 

Pada 28 Februari lalu, Farm Fresh melancarkan prospektus penyenaraiannya yang dijangka menjana kira-kira RM1 bilion daripada IPO tersebut membabitkan penjualan 520.2 juta saham dan terbitan awam 223 juta saham baharu.

 

Menerusi langkah penyenaraiannya, harga IPO Farm Fresh ditetapkan pada RM1.35 sesaham dengan permodalan pasaran RM2.5 bilion apabila disenaraikan, manakala modal diperbesarkan sebanyak 1.86 bilion saham.

 

Menurut firma penyelidikan pasaran Frost & Sullivan, Farm fresh ialah pengeluar produk tenusu terhasil susu segar bersepadu terbesar di Malaysia pada 2020, yang telah memberikannya kelebihan untuk mengembangkan lagi bahagian pasarannya.

 

Baca : Farm Fresh rancang luas pasaran ke Filipina, Indonesia dan Hong Kong

 

Inter-Pacific berkata, walaupun permodalan pasaran kumpulan adalah jauh lebih kecil daripada 3 pemain industri (seperti disebut di atas), tetapi sasaran penilaian yang diberikan terhadap Farm Fresh dianggar wajar. 

 

Katanya, ia mengambil kira kedudukannya yang dominan dalam pasaran tenusu di Malaysia, terutama dalam RTD sejuk, memberikan kelebihan untuk memperoleh lebih banyak bahagian pasaran pada masa depan dengan kuasa penetapan harga yang agak besar.

 

"Harga Farm Fresh secara relatifnya lebih rendah berbanding dengan jenama lain dalam segmen susu RTD sejuk. Bagaimanapun, dalam segmen susu RTD ambien, harga Farm Fresh lebih tinggi daripada pesaingnya.

 

"Farm Fresh mungkin mendapat harga yang lebih tinggi dalam segmen ambien berikutan persaingan yang lebih rendah daripada jenama lain yang menjual susu UHT RTD yang diperbuat daripada susu mentah segar.

 

"Pesaing di Malaysia termasuklah pengeluar bersepadu (Kedah Dairy, Bright Cow, Eco-Fresh dan Summerfield) dan pengeluar pertengahan dan hiliran (Dutch Lady, Goodday, Marigold, Dairy Fresh dan Greenfields)," jelasnya.

 

 

farm fresh

 

 

Pada masa sama, firma itu juga berpendapat, model perniagaan bersepadu secara menegak memberikannya lebih fleksibiliti dari segi kos, masa dan kawalan kualiti tanpa terlalu bergantung pada bekalan pihak ketiga dan risiko yang menjejaskan mana-mana aspek.

 

Farm Fresh, yang beroperasi sejak 2009, melaporkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM36.2 juta bagi FY21, iaitu kadar pertumbuhan tahunan terkompaun (CAGR) 14.9% berbanding keuntungan selepas cukai RM27.4 juta pada FY19.

 

Bagi tahun kewangan 2019 hingga 2021, CAGR pendapatan kumpulan meningkat 65.9% daripada RM178.2 juta kepada RM490.5 juta. 

 

Menurut Inter-Pacific, walaupun Farm Fresh memperoleh lebih banyak hasil setiap tahun, tetapi ia juga dapat mengekalkan marginnya, dengan sokongan daripada beberapa campuran produk margin tinggi seperti produk berasaskan tumbuhan yang memperoleh purata harga jualan (ASP) yang lebih tinggi. 
-DagangNews.com