Farm Price meterai perjanjian taja jamin dengan Alliance Islamic Bank bagi penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

Farm Price meterai perjanjian taja jamin dengan Alliance Islamic Bank bagi penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 April - Farm Price Holdings Bhd memeterai perjanjian taja jamin dengan Alliance Islamic Bank Bhd bagi penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

 

Pelaksanaan tawaran awam permulaan (IPO) Farm Price merangkumi terbitan awam sebanyak 102 juta saham biasa baharu, mewakili 22.67% daripada modal sahamnya yang diperbesarkan, serta tawaran untuk penjualan 33 juta saham sedia ada atau 7.33% daripada modal sahamnya yang diperbesarkan, melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.

 

Daripada 102 juta saham baharu itu sejumlah 22.5 juta saham akan disediakan kepada oran ramai Malaysia melalui pengundian manakala 11.25 juta saham kepada pengarah, pekerja dan individu yang layak yang telah menyumbang kepada kejayaan Farm Price (peruntukan bentuk merah jambu). 

 

Sementara itu, baki 68.25 juta saham akan digunakan untuk penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.

 

Kumpulan itu dalam satu kenyataan berkata, berdasarkan perjanjian taja jamin itu, Alliance Islamic Bank akan menaja jamin sejumlah 33.75 juta saham baharu yang disediakan kepada rakyat Malaysia dan peruntukan borang merah jambu.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Farm Price terima kelulusan untuk disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia

 

Farm Price merupakan pendendali perniagaan sayur-sayuran segar, produk F&B dan barangan runcit lain di Ulu Tiram, Johor.

 

Pengarah Urusan Farm Price, Dr Tiong Lee Chian berkata, industri sayur-sayuran segar adalah penting untuk keselamatan makanan Malaysia, menyokong kesihatan awam dan kemampuan pengguna.

 

"Sebagai pengedar borong, kami memainkan peranan penting dalam rantaian bekalan di mana kami mendapatkan sayur-sayuran segar daripada pengusaha, pengedar dan pengimport dalam dan luar negara dalam menyediakan bekalan kepada pelanggan kami terutamanya di Johor dan Singapura.

 

"Hari ini, kami menawarkan pelbagai pilihan sayur-sayuran segar untuk memenuhi segala keperluan pelanggan kami," katanya.

 

Beliau berkata, selain kepelbagaian bekalan syarikat itu juga menyediakan perkhidmatan tambah nilai seperti pemprosesan sayur-sayuran yang dibungkus dan dipotong segar bagi meningkatkan kemudahan serta mengurangkan masa penyediaan kepada pelanggan.

 

Farm Price akan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia menjelang Mei 2024, dengan Alliance Islamic Bank sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin tunggal dan ejen penempatan untuk pelaksanaan IPO. - DagangNews.com