Fasih Mandarin Menawarkan biasiswa sehingga 60% untuk Pelajar B40 | DagangNews Skip to main content

Fasih Mandarin Menawarkan biasiswa sehingga 60% untuk Pelajar B40

Fasih Mandarin mempunyai 7 cawangan di seluruh Semenanjung Malaysia

SELEPAS 2 tahun yang mencabar akibat pandemik dan kemelesetan ekonomi yang menyaksikan inflasi memberi kesan yang teruk kepada kemampuan mendapatkan keperluan harian, laporan baru-baru ini menunjukkan bahawa lebih ramai rakyat Malaysia boleh terjerumus lebih sukar dalam kategori B40 menjadikannya kategori B60.

 

Keadaan ini menjadi lebih teruk disebabkan oleh pasaran kerja yang semakin ketat, di mana pendigitalan dan globalisasi telah menyaksikan majikan menambah penekanan untuk mencari kakitangan berbilang bahasa bagi memenuhi pasaran global.

 

Secara khususnya, bahasa Mandarin telah menjadi antara bahasa kedua paling pesat berkembang dalam bilangan penuturnya di seluruh dunia.

 

Menyedari cabaran ini dan bagaimana ia boleh memberi kesan kepada kerjaya dan kehidupan penduduk B40 yang semakin meningkat, Fasih Mandarin - Institut bahasa Mandarin untuk penutur bukan jati yang terkemuka di Malaysia telah mengumumkan penubuhan Biasiswa FM 2022.

 

Pengasas & Pengarah Urusan Fasih Mandarin, Ros Mohammad Shah Farid Mat Rashid berkata, Biasiswa FM bertujuan untuk meningkatkan kemahiran dan penguasaan bahasa golongan B40 dalam bahasa Mandarin dengan harapan dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan.

 

"Secara peribadi, saya sedar dengan peluang bernilai yang dapat diperoleh melalui biasiswa yang diterima, saya pernah menerima biasiswa daripada Majlis Amanah Rakyat (MARA) selama bertahun-tahun semasa masih dalam pengajian dan perkara inilah yang membuatkan saya terdorong untuk kekal di landasan ini sehingga akhirnya tertubuhnya Fasih Mandarin.

 

"Saya telah menimba pengalaman hidup yang berharga daripada biasiswa yang saya terima. Oleh itu, saya ingin menyampaikannya kepada orang lain pula sebagai suatu timbal balik kerana saya benar-benar percaya bahawa peluang pendidikan yang sama akan membantu menyalakan percikan semangat dan kesedaran dalam minda anak muda, secara tidak langsung memberi inspirasi kepada mereka untuk ke tahap yang lebih tinggi," kata beliau.


 

Ros Mohammad Shah Farid Mat Rashid
         Ros Mohammad Shah Farid Mat Rashid

 


Tambahan pula, ujar beliau, "Mandarin kini diiktiraf secara meluas sebagai bahasa perniagaan yang penting disebabkan keunggulan ekonomi China yang berterusan".

 

"Dengan menjadikan pembelajaran bahasa lebih mudah dan berpatutan untuk golongan B40, kami berharap dapat memperkasakan mereka dengan ilmu dan kemahiran agar mereka dapat membina kerjaya yang menjamin masa hadapan.

 

"Ini bukan sahaja dapat memberi mereka sumber pendapatan yang baik tetapi dari situ, ia mempunyai kesan yang positif terhadap seluruh keluarga dan komuniti mereka,” kata Ros Mohammad.

 

Kini permohonan dibuka sehingga 31 Ogos, Biasiswa Fasih Mandarin FM menawarkan pengecualian sehingga 60% ke atas yuran kursus dalam talian Mandarin tahap pemula HSK1 kepada individu yang layak.

 

Untuk memenuhi syarat, pemohon mestilah warganegara Malaysia yang mempunyai SPM/SPVM/STAM atau kelayakan yang setara dan mempunyai purata pendapatan isi rumah sebanyak RM5,000 dan ke bawah.

 

HSK1 adalah setara dengan tahap pertama Hanyu Shuiping Kaoshi, peperiksaan rasmi yang diiktiraf di peringkat antarabangsa untuk kemahiran mendengar, pemahaman, dan menulis dalam bahasa Mandarin. Biasiswa FM 2022 kali ini merupakan pengambilan ketiga biasiswa yang ditawarkan oleh Fasih Mandarin. Pengambilan biasiswa sebelum ini menyaksikan seramai 100 orang pelajar menerima diskaun pada yuran untuk menyertai kursus Mandarin HSK1.

 

Fasih Mandarin adalah cetusan idea Ros Mohammad Shah Farid, graduan Beijing Foreign Studies University, di mana beliau memperoleh ijazah dalam Kesusasteraan Mandarin.


 

mandarin
Seorang tenaga pengajar di Fasih Mandarin

 


Baru-baru ini, beliau telah dilantik sebagai ahli kehormat lembaga pengajian Fakulti Bahasa dan Pengurusan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Beliau telah dipilih untuk menjadi panel penasihat bagi Sarjana Muda Sastera Bahasa Mandarin sebagai Bahasa Asing (Kepujian), ijazah Sarjana Muda Bahasa Mandarin untuk penutur bukan jati yang pertama ditawarkan di Malaysia.

 

Ditubuhkan pada tahun 2018, matlamat utama Fasih Mandarin adalah untuk membantu sesiapa sahaja yang bersemangat dan ingin menguasai bahasa Mandarin dengan metodologi yang berstruktur tetapi sangat interaktif dan mudah difahami. Kursus Fasih Mandarin adalah yang pertama seumpamanya di negara ini yang akan dibangunkan oleh dan untuk penutur bukan jati dan dengan itu, disesuaikan dan dijalankan dengan mengambil kira cabaran yang selalu dihadapi oleh penutur bukan jati.

 

Fasih Mandarin menawarkan pelbagai modul kursus yang sesuai untuk semua peringkat umur dan latar belakang - dengan pembelajaran secara berkumpulan dan persendirian untuk orang dewasa, kanak-kanak serta kursus korporat yang direka khusus mengikut keperluan pekerja dan perniagaan. Ia hanya mengambil masa 24 jam untuk menguasai bahasa Mandarin tahap pemula.


 

mandarin
Kelas dewasa Fasih Mandarin

 


Fasih Mandarin mempunyai 7 cawangan di seluruh Semenanjung Malaysia dengan cawangan terbaru telah dibuka di wilayah selatan negara ini iaitu di Johor Bahru, Johor. Sehingga kini, Fasih Mandarin telah membantu lebih daripada 5,000 orang pelajar untuk memperkasakan diri mereka dengan kemahiran bahasa Mandarin.

 

Fasih Mandarin berdaftar dengan Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kementerian Kewangan Malaysia serta merupakan penyedia latihan berdaftar di bawah HRDCorp. Kursus dan metodologi institut ini juga diiktiraf oleh Beibu Gulf University, sebuah universiti terkemuka yang berpangkalan di China. 

 

Ketahui lebih lanjut mengenai Fasih Mandarin dengan melayari: https://en.fasihmandarin.com/ atau mendaftar untuk Biasiswa FM 2022 di Google Form Biasiswa FM . – DagangNews.com