Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 15 Nov - FBM KLCI turun sedikit sebanyak 0.03% minggu lalu untuk ditutup pada 1,531.22 mata. Bagi Ringgit, ia menyaksikan penyusutan mingguan sekitar 0.14% berbanding dolar AS untuk menutup AS$/RM 4.1655 pada Jumaat lepas.
MIDF Research berkata, pelabur asing merupakan pembeli bersih bagi minggu berakhir pada 12 November, yang menyaksikan aliran masuk bersih berjumlah RM359.14 juta.
Katanya, ia merupakan minggu keenam aliran masuk bersih oleh pelabur asing.
"Ketika pasaran dibuka semula Isnin lepas, institusi dan peruncit tempatan masing-masing adalah penjual bersih dan pembeli bersih, berjumlah RM142.56 juta dan RM13.32 juta. Sementara itu, pelabur asing adalah pembeli bersih pada harga RM129.24 juta.
"Pelabur asing adalah pembeli bersih untuk majoriti minggu kecuali pada hari Selasa dengan aliran masuk asing terbesar dicatatkan pada hari Jumaat dan satu-satunya aliran keluar pada hari Selasa masing-masing berjumlah RM177.45 juta dan RM47.66 juta," katanya dalam laporan aliran dana mingguannya di sini hari ini.
Tambahnya, untuk minggu lepas peruncit merupakan pembeli bersih setiap hari untuk minggu tersebut dengan belian bersih terbesar oleh peruncit dicatatkan pada hari Selasa dan belian bersih terkecil pada hari Jumaat masing-masing berjumlah RM80.38 juta dan RM12.45 juta.
Katanya untuk minggu itu, peruncit bersih membeli ekuiti bernilai RM185.75 juta di Bursa.
Sementara itu, institusi tempatan merekodkan jualan bersih mingguan terkumpul sebanyak RM544.49 juta dan ia merupakan penjual bersih untuk setiap hari dalam seminggu dengan jualan bersih terbesar pada hari Jumaat sebanyak RM189.90 juta, manakala aliran keluar bersih terkecil pada hari Selasa berjumlah RM32.72 juta.
"Sejak awal tahun 2021, secara kumulatif, peruncit merupakan satu-satunya pembeli bersih pasaran ekuiti kami dengan nilai RM11.36 bilion.
"Institusi tempatan dan pelabur asing adalah penjual bersih masing-masing pada harga RM9.61 bilion dan RM1.75 bilion," katanya. -DagangNews.com