FBM KLCI turun 20.10 mata kepada 1,491.95 didorong ketidaktentuan pasaran global | DagangNews Skip to main content

FBM KLCI turun 20.10 mata kepada 1,491.95 didorong ketidaktentuan pasaran global

KUALA LUMPUR 1 Sept - Bursa Malaysia ditutup secara amnya lebih rendah hari ini dibebani oleh jualan berterusan dalam saham wajaran tinggi, seiring dengan kelemahan dalam kebanyakan bursa-bursa serantau.

 

Saham-saham Asia bagaikan mengambil petunjuk daripada ketidaktentuan yang berterusan dalam pasaran saham global selepas data pekerjaan Amerika Syarikat (AS) yang kukuh mencetuskan kebimbangan terhadap pengetatan dasar monetari yang agresif, kata seorang peniaga.

 

Pada jam 5 petang, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 20.10 mata kepada 1,491.95 daripada 1,512.05 penutup Selasa.

 

Bursa Malaysia dan anak syarikatnya ditutup semalam (31 Ogos) sempena cuti Hari Kebangsaan.

 

Indeks penanda aras dibuka 14.04 mata lebih rendah pada 1,498.01, dan seterusnya bergerak antara 1,490.71 dan 1,503.49 sepanjang hari.

 

Di pasaran yang lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 661 berbanding 269, manakala 372 kaunter tidak berubah, 986 tidak diniagakan dan 20 yang lain digantung.

 

Jumlah dagangan turun kepada 2.44 bilion unit bernilai RM2.02 bilion daripada 2.86 bilion unit bernilai RM2.72 bilion pada Selasa (30 Ogos). — DagangNews.com