SC Chong
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN
[email protected]
KUALA LUMPUR 4 Jan - FedEx Express Malaysia akan terus menerajui teknologi pendigitalan dan memperkukuhkan keupayaan dalam usaha menyokong pertumbuhan platform e-dagang.
Pengarah Urusannya, SC Chong berkata, beliau yakin syarikat penyedia logistik tersebut mampu menjadi pesaing pasaran yang positif berikutan peningkatan pergantungan terhadap e-dagang.
Jelasnya, pandemik COVID-19 menjadi pemangkin kepada pertumbuhan e-dagang kerana operasi perniagaan terpaksa berubah untuk kekal berdaya saing dan berkembang.
"Peralihan tabiat pembelian dan sikap pengguna akan terus memberi kesan dan mempercepatkan pertumbuhan e-dagang. Kami perlu berinovasi dan membawa penyelesaian demi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan e-peruncit," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Chong, ahli perniagaan perlu terus mengadaptasi dan menjangkakan keperluan pelanggan mereka untuk memajukan perniagaan.
"Mereka mesti terus berinovasi kerana masyarakat telah berubah dan perlu menjadi sebahagian daripada perubahan positif tersebut," katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, FedEx tidak pernah berhenti beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Memandangkan lebih ramai pengguna membeli dalam talian semasa tempoh sekatan pergerakan, kami menyaksikan peningkatan dalam jumlah penghantaran.
"FedEx beralih serta-merta kepada penghantaran tanpa sentuh kepada pelanggan dan memansuhkan tandatangan fizikal, seperti mana yang diperlukan kebanyakan syarikat perkapalan," katanya.
Katanya, usaha tersebut bagi meminimumkan interaksi fizikal dan memastikan keselamatan penghantar dan pelanggan mereka.
"Penyelesaian digital seperti FedEx Delivery Manager, FedEx Billing Online, mobile payment dan FedEx Virtual Assistant juga disediakan untuk memudahkan dan melancarkan penghantaran kepada pelanggan secara efisyen dan selamat semasa pandemik," katanya.
Beliau berkata, dengan peningkatan kepentingan e-dagang, PKS boleh bergerak melangkaui permintaan tempatan atau domestik untuk menjangkau pelanggan serantau serta antarabangsa baharu, sekaligus meningkatkan pendapatan tanpa kos pelaburan premis perniagaan fizikal.
Tambah beliau, dua tahun lalu pasaran e-dagang Malaysia melaporkan pertumbuhan sebanyak 24.7 peratus, menurut Analitis E-Dagang daripada GlobalData.
"Menurut Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), pada akhir 2020, sebanyak 489,000 perusahaan mikro dan sederhana kecil menerima pakai e-dagang. Syarikat yang menggunakan e-dagang untuk eksport meningkat secara exponen daripada 1,800 kepada 27,000," katanya. - DagangNews.com