KUALA LUMPUR 12 Mac - Felda membeli lagi 467,300 saham FGV Holdings Bhd. dalam pasaran terbuka pada nilai RM1.30 sesaham.
"Langkah ini adalah sejajar dengan tawaran pengambilalihan mandatori oleh Felda untuk memperoleh semua baki saham FGV," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.
Baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, Felda kini menguasai 77% saham FGV dan memerlukan sekurang-kurangnya 13% lagi untuk nyahsenarai syarikat perladangan itu daripada Bursa Malaysia.
Beliau berkata jumlah pegangan saham FGV penting dalam usaha memantapkan Felda.
Sebelum ini, Felda dilaporkan memperoleh 22 juta saham FGV di pasaran terbuka dengan harga RM28.38 juta, iaitu RM1.29 sesaham pada 13 Januari lalu.
Pada 12 Januari lalu, Felda mengeluarkan dokumen berkaitan tawaran pengambilalihan mandatori tanpa syarat bagi baki saham di FGV tidak dimilikinya, kecuali saham perbendaharaan. - DagangNews.com