Felda beli lagi 857,300 saham FGV  | DagangNews Skip to main content

Felda beli lagi 857,300 saham FGV 

 

 

 

KUALA LUMPUR 15 Feb. - Felda masih meneruskan pembelian saham FGV Holdings Bhd. di pasaran terbuka dan kali ini berjumlah 857,300 saham. 

 

Maybank Investment Bank Bhd. (Maybank IB) dalam kenyataan berkata, pembelian pada nilai RM1.30 sesaham itu melibatkan jumlah bernilai RM1.11 juta. 

 

"Felda membeli saham FGV ini pada 11 Februari lalu," katanya dalam kenyataan bagi pihak Felda. 

 

Jelasnya, langkah itu adalah di bawah tawaran pengambilalihan mandatori oleh Felda menerusi Maybank IB untuk membeli kesemua baki saham dalam FGV (kecuali saham perbendaharaan). 

 

Saham tersebut melibatkan saham yang tidak dimiliki Felda dan pihak yang bertindak bersamanya (PAC), termasuk kesemua saham di bawah pelan insentif jangka panjang FGV. 

 

Pada 11 Februari lalu, Maybank IB memaklumkan, tarikh akhir bagi penerimaan tawaran Felda itu telah dilanjutkan kepada 2 Mac berbanding 16 Februari sebelum ini. 

 

Setakat 10 Februari, Felda dan PAC telah memiliki 2.62 bilion saham FGV. Ia bersamaan dengan 71.95% pegangan dalam syarikat perladangan tersebut. 

 

Sebelum ini, juga dilaporkan, Felda tidak berhasrat mengekalkan status penyenaraian FGV dalam pasaran utama Bursa Malaysia Securities apabila proses pengambilalihan dimuktamadkan. - DagangNews.com