Felda tangguh tawaran kepada FGV hingga 2 Mac  | DagangNews Skip to main content

Felda tangguh tawaran kepada FGV hingga 2 Mac 

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 11 Feb. - Felda menangguhkan tarikh tutup untuk pemegang kepentingan FGV Holdings Berhad (FGV) menghantar penerimaan tawaran pengambilalihan baki saham tidak dimiliki lembaga perladangan itu hingga 5 petang pada 2 Mac 2021. 

 

Tarikh untuk menghantar penerimaan tawaran berkenaan sepatutnya berakhir pada 16 Februari ini. 

 

Perkara itu diumumkan Maybank Investment Bank Berhad (Maybank IB) yang mewakili Felda dalam sebuah kenyataan hari ini. 

 

“Kami juga ingin mengumumkan kepada pemegang saham bahawa Lembaga Pengarah pada 5 Februari 2021, telah mengumumkan penyebaran pemegangan awam FGV merangkumi 23.93% daripada jumlah saham yang diterbitkan FGV (kecuali saham perbendaharaan) berdasarkan rekod pendeposit FGV setakat 4 Februari 2021. 

 

“Susulan itu, FGV tidak mematuhi syarat penyebaran pemegangan awam minimum iaitu 25% mengikut Perenggan 8.02 (1) dalam Syarat Penyenaraian.

 

“Seperti mana yang dinyatakan dalam Seksyen 4.1 dokumen tawaran, Felda telah menyatakan ia tidak berhasrat untuk meneruskan status penyenaraian FGV di Pasaran Utama Bursa Securities,” jelas Maybank IB dalam kenyataan itu. 

 

Sebelum ini, FGV memohon lanjutan sehingga 16 Februari 2021 bagi tawaran pengambilalihan saham yang tidak dimiliki Felda. 

 

Baca : FGV minta tangguh hingga 16 Feb

 

Bagaimanapun, terma dan syarat-syarat dalam tawaran dokumen masih kekal tidak berubah. 

 

Berdasarkan lampiran dikemukakan Maybank IB bersama-sama kenyataan itu, pemegangan saham FGV oleh Felda dan pihak bertindak (PAC) telah menokok kepada 71.95% atau 2.62 bilion unit setakat 5 petang semalam. 

 

Terdahulu, Felda mengumumkan untuk menawarkan ambil alih mandatori ke atas saham minoriti FGV dengan nilai RM1.30 sesaham. - DagangNews.com