Felda terus beli saham FGV, kali ini 41 juta unit | DagangNews Skip to main content

Felda terus beli saham FGV, kali ini 41 juta unit

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 19 Jan. - Pengambialihan FGV Holdings Berhad oleh Felda semakin menghampiri garisan penamatnya. 

 

Selepas memborong lebih 27 juta unit saham FGV pada minggu lalu, Felda membeli 41 juta unit lagi menerusi pasaran terbuka. 

 

Unit itu dibeli semalam pada nilai RM1.30 sesaham sekali gus menyaksikan jumlah pembelian mencecah RM53.3 juta. 

 

Perkara itu dimaklumkan FGV di Bursa Malaysia sebentar tadi. 

 

Pada minggu lalu, Felda telah membeli 22 juta saham FGV berjumlah RM28.38 juta pada nilai RM1.29 sesaham. 

 

Keesokannya, Felda menambah pegangan sahamnya dalam FGV sebanyak 5,147,200 unit pada nilai sesaham yang sama. 

 

Pengambilalihan itu melibatkan jumlah RM6.64 juta. 

 

Kedua-dua urus niaga itu dibeli menerusi pasaran terbuka. 

 

Ini menjadikan pegangan saham Felda dalam FGV yang diperoleh menerusi pasaran terbuka menokok kepada 68.15 juta dengan jumlah pembelian keseluruhan mencecah sekitar RM88.32 juta. 

 

Pada 8 Disember 2020, Felda menyatakan hasrat untuk mengambil alih sebanyak 506,190,800 atau 13.88% ekuiti FGV dengan nilai sebanyak RM658 juta.

 

Agensi itu bercadang untuk meningkatkan pegangannya dengan membeli keseluruhan kepentingan yang dimiliki Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP), 6.1% dan Urusharta Jamaah Sdn. Bhd., 7.78%. 

 

Tawaran tunai RM1.30 sesaham oleh Felda akan dibuka untuk penerimaan sehingga 5 petang, menjelang 2 Februari 2021. 

 

Setakat dagangan sesi pertama tadi, nilai saham FGV kekal tidak berubah pada kadar RM1.30. - DagangNews.com