Fenomena El-Nino dijangka bantu kekal harga minyak sawit mentah antara RM3,800 hingga RM4,200 bagi setiap tan, kata MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Fenomena El-Nino dijangka bantu kekal harga minyak sawit mentah antara RM3,800 hingga RM4,200 bagi setiap tan, kata MIDF Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Okt - MIDF Research mengunjurkan fenomena El-Nino boleh menjadi pemangkin kepada harga minyak sawit mentah (MSM) kekal tinggi pada paras antara RM3,800 hingga RM4,200 bagi setiap tan.

 

Katanya, pada masa ini, EL-Nino masih dalam tahap yang lemah, tetapi sedang membina momentumnya kepada paras sederhana, sebelum memasuki fasa kuat pada suku pertama 2024.

 

Mereka percaya bahawa disebabkan oleh perubahan terkini  dalam monsun Barat Daya Malaysia, ketibaan EL-Nino mungkin agak tertangguh.

 

"Bagaimanapun, fenomena itu masih mempunyai lebih daripada 95% peluang untuk berlaku pada 2024.

 

"Selain itu, terdapat tanda-tanda awal yang dikesan di beberapa bahagian di Kalimantan antara dua hingga tiga bulan yang lalu berikutan perkembangan El-Nino semasa," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu bimbang terhadap permintaan yang rapuh akibat tekanan inflasi selain perbelanjaan isi rumah yang ketat pada kadar faedah asas yang tinggi dalam negara dan global.

 

Katanya, penutup minyak sawit sehingga kini di negara pengimport utama telah mencapai kadar sebelum pandemik seperti India (4.2 juta tan), China (5.7 juta tan), Pakistan (2.7 juta tan) dan Bangladesh (1 juta tan).

 

"Oleh itu, kami menjangkakan permintaan akan menjadi perlahan bagi baki tahun ini," katanya.

 

MIDF Research berkata, pada September, harga penghantaran MSM domestik susut kepada RM3,687 satu tan dan purata bulanan lebih rendah pada RM3,727 setiap tan diheret oleh keyakinan terhadap pengeluaran peringkat domestik.

 

Katanya, harga September meningkat sebanyak 3.7% dari bulan ke bulan atau kepada paras RM3,945 satu tan (disebabkan oleh bulan yang lebih kering), namun cuaca yang menggalakkan telah menghakis keuntungan dan harga melemah sejajar dengan peningkatan produktiviti ladang.

 

"Kami mengunjurkan purata harga penghantaran MSM tempatan akan ditutup sebanyak 4.4% lebih tinggi kepada RM3,891 setiap tan pada Oktober," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'neutral'  dengan harga sasaran MSM sebanyak RM3,800 bagi 2023dan Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK) merupakan pilihan utama dengan harga sasaran (TP) RM24.60 sesaham. - DagangNews.com