Loji janakuasa biogas FGV di Triang, Pahang mempunyai kapasiti 2.4 megawatt
Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 28 Okt. - FGV Holdings Bhd. muncul satu-satunya syarikat perladangan sawit di dunia yang memiliki 28 loji tenaga biogas dalam usaha melestarikan alam sekitar.
Malah, syarikat itu adalah yang pertama membina loji Bio-Compressed Natural Gas (Bio-CNG) berskala komersial berasaskan sawit di Malaysia.
Terbaharu, loji janakuasa biogas FGV yang dibina di kilang minyak sawit Triang di Bera, Pahang baru-baru ini
merupakan loji janakuasa tenaga boleh diperbaharui biogas terbesar miliknya setakat ini dengan kapasiti 2.4 megawatt (MW).
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Haris Fadzilah Hassan berkata, sokongan tenaga elektrik yang disediakan oleh loji janakuasa biogas Triang FGV bertindak sebagai tenaga hijau alternatif untuk TNB, yang mengurangkan risiko gangguan bekalan elektrik untuk memastikan aliran lebih baik dan stabil.
“Sejajar dengan agenda tenaga boleh diperbaharui kerajaan, loji janakuasa biogas ini menawarkan tenaga boleh diperbaharui yang efisien melalui biogas daripada Palm Oil Mill Effluent (POME).
"Ini sekali gus dapat mengurangkan keperluan untuk membakar lebih banyak arang batu atau gas asli yang berpotensi membahayakan alam sekitar,” katanya.
Loji janakuasa biogas Triang itu berjaya disiapkan dan beroperasi sepenuhnya setelah menerima Feed-in-Tariff (FiT) Completion Date (FiTCD) dari Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (SEDA), 20 Oktober lalu.
Melalui SEDA, FGV memperoleh kuota kapasiti eksport sebanyak 2.0 MW kepada grid nasional TNB untuk mengagihkan elektrik ke 15,000 rumah di Felda Triang, Felda Sebertak, Felda Purun, Felda Bukit Kepayang dan Felda Tementi yang terletak di dalam jarak 30 km dari loji janakuasa biogas itu.
Kawasan sekitar yang lain termasuk bandar-bandar berdekatan, klinik, masjid, pejabat dan kedai-kedai kecil.
Menurut Haris Fadzilah, loji ini juga menghasilkan biogas yang mencukupi untuk menghasilkan tenaga untuk ditransmisi ke pencawang elektrik TNB yang disambungkan ke grid nasional.
"Semasa transmisi puncak, ia mampu menghasilkan sehingga 10 juta kilowatt-hour (kWh) setahun, justeru, menjana pendapatan kira-kira RM5 juta setahun untuk kilang sawit berkenaan," katanya.
Dalam masa sama, pemasangan loji janakuasa biogas itu juga membantu meningkatkan kapasiti rawatan air kilang sawit.
Ini dapat membantu meningkatkan kualiti pembuangan air ke sungai berdekatan yang mana kilang sawit turut dilengkapi dengan loji rawatan POME.
Beliau berkata, selain loji tersebut, FGV juga memiliki empat loji biogas FiT sedia ada untuk mengeksport elektrik ke grid nasional yang terletak di Mersing dengan kapasiti 1.6 MW, serta di Maokil, Segamat dan Tenggaroh masing-masing dengan kapasiti 1.2 MW.
Katanya, sebagai tambahan kepada loji janakuasa biogas FiT, FGV juga menyumbang kepada penjanaan elektrik luar bandar untuk kawasan yang tidak mempunyai capaian ke grid nasional TNB seperti Felda Umas dan Felda Baiduri Ayu di Sabah.
"Ini dilakukan dengan menyuntik tenaga elektrik ke grid tempatan dimiliki oleh Felda Investment Corporation (FIC) yang kebiasaannya menggunakan penjana diesel untuk membolehkan penduduk tempatan menikmati tenaga elektrik yang boleh diperbaharui dengan kos penjanaan tenaga lebih rendah," katanya. - DagangNews.com