FGV masih berdepan risiko nyahsenarai - CGS CIMB | DagangNews Skip to main content

FGV masih berdepan risiko nyahsenarai - CGS CIMB

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 1 Jun - Di sebalik prestasi kewangan yang kukuh pada suku pertama berakhir 31 Mac 2022, status penyenaraian FGV Holdings Bhd. di Bursa Malaysia masih menimbulkan kebimbangan kepada penganalisis. 

 

Ini berikutan sebaran pegangan awam FGV setakat 25 Mei 2022 adalah pada 12.9%, tidak mematuhi keperluan 25% sebaran pegangan awam yang ditetapkan Bursa Malaysia, menurut CGS-CIMB Research. 

 

Tambahan pula, pemegang saham utamanya, Felda pada 23 Februari lalu memaklumkan kepada FGV bahawa ia tidak berhasrat untuk mengekalkan status penyenaraian syarikat perladangan itu. 

 

Pada masa sama, katanya, lanjutan yang diberikan Bursa Malaysia supaya mematuhi keperluan penyebaran awam akan berakhir pada 3 Ogos 2022.

 

"Oleh itu, kami bimbang mengenai risiko nyahsenarai sekiranya perkara ini tidak diselesaikan. Kami melihat harga saham disokong oleh kemungkinan tawaran penswastaan," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Firma itu bagaimanapun menaikkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) FGV bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) bagi mencerminkan harga minyak sawit yang tinggi pada RM5,000 satu tan metrik. 

 

Unjuran EPS bagi FY23 hingga FY23 sebaliknya dikurangan dengan mengambil kira sumbangan menerusi hasil gula yang lebih rendah. 

 

"Dari segi kenaikan kos ladang ekoran harga minyak sawit mentah akan memuncak tahun ini, kami mengurangkan premium kerana berpendapat Felda sanggup menawarkan sehingga 30% daripada 50% tawaran harga RM1.30 sebelum ini dalam usahanya menjadikan FGV syarikat persendirian. 

 

"Oleh itu, kami juga mengurangkan harga sasaran FGV kepada RM1.69 daripada RM1.95 sesaham sebelum ini. 
"Tetapi, kami mengekalkan saranan 'pegang' terhadap kumpulan ekoran premium yang lebih rendah disebabkan kenaikan kos," jelasnya.

 

Baca : Harga minyak sawit tinggi bantu FGV catat untung RM369.24 juta pada suku pertama

 

Dalam laporan kewangan yang diumumkan semalam, FGV kembali mencatat keuntungan pada suku pertama berakhir 31 Mac 2022 sebanyak RM369.24 juta, berbanding kerugian bersih RM35.42 juta yang dialaminya bagi tempoh sama tahun kewangan 2021.

 

Prestasi lebih baik itu dipacu oleh margin produk sawit yang lebih tinggi, operasi hiliran, pembajaan dan dan prestasi perniagaan logistik yang lebih baik.

 

Pada suku semasa, harga purata minyak sawit mentah adalah RM5,058 satu tan metrik, iaitu 59% lebih tinggi daripada harga purata pada suku pertama 2021 sebanyak RM3,172 satu tan metrik.

 

Hasil yang dicatatkan kumpulan pula melonjak 73% kepada RM5.85 bilion daripada RM3.39 bilion setahun sebelumnya disokong oleh harga purata minyak sawit mentah, volum pengeluaran, produk pembajaan dan produk pengguna dengan harga yang lebih tinggi.

 

Sementara itu, Kenanga Research turut menyemak naik EPS bagi Fy22 dan FY23 masing-masing sebanyak 2% dan 7% kepada 31.3 sen dan 24.8 sen selepas menyemak semula harga minyak sawit mentah. 

 

Bagi FY22, ia mengunjurkan harga minyak sawit mentah bagi FGV akan meningkat kepada RM4,500 satu tan metrik daripada RM4,000 sebelum ini, manakala harga minyak sawit mentah bagi FY23 juga disemak naik kepada RM4,000 daripada RM3,500 sebelum ini.

 

Mengenai tawaran ambil alih mandatori (MO), firma itu berkata, memandangkan FGV kini diniagakan melebihi RM1.30 sesaham, Felda telah berusaha untuk melanjutkan MO beberapa kali dan lanjutan terkini adalah sehingga 3 Ogos 2022.

 

"Dalam hal ini, Felda boleh menaikkan harga tawaran, mengurangkan 5% pegangan bagi memenuhi keperluan Bursa Malaysia atau mungkin melanjutkan lagi MO," tambahnya.

 

Pada Januari 2021, Felda mencetuskan MO untuk memperoleh FGV pada RM1.30 sesaham. Pegangannya dalam FGV sejak itu telah meningkat daripada 51% kepada 80%, justeru, keperluan penyenaraian untuk pelabur awam mempunyai sekurang-kurangnya 25% pegangan saham dalam FGV tidak lagi dipenuhi.

 

Setakat 10.15 pagi ini, harga saham FGV menokok 2 sen atau 1.17% kepada RM1.73 dengan 291,200 saham diniagakan. - DagangNews.com