FGV tambah 35,600 tan metrik tangki simpanan penuhi permintaan pasaran | DagangNews Skip to main content

FGV tambah 35,600 tan metrik tangki simpanan penuhi permintaan pasaran


Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 16 Okt. - FGV Holdings Berhad (FGV) memiliki salah sebuah kemudahan simpanan minyak sayuran terbesar di dunia dengan jumlah kapasiti simpanan lebih 1.1 juta tan metrik (MT) menerusi 12 terminal cecair yang terletak di Malaysia, Indonesia dan Pakistan.

FGV mengendalikan perniagaan simpanan pukal menerusi anak syarikatnya, FGV Johor Bulkers Sdn. Bhd. (FJB). 

FJB mengendalikan 25% keseluruhan eksport minyak sawit Malaysia di samping menyediakan ruang simpanan yang cukup kepada pedagang minyak sayuran antarabangsa bagi menjalankan perniagaan secara lebih berkesan di serata dunia.

Berikutan peningkatan permintaan di pasaran dan bagi memenuhi mandat biodiesel B20 kerajaan untuk sektor pengangkutan, FGV telah meluaskan kemudahan simpanan pukal dengan menambah enam lagi tangki simpanan baharu untuk minyak sayuran. 

Empat tangki daripadanya terletak di Pasir Gudang, Johor dengan kapasiti simpanan sebanyak 10,400 MT telah siap pada Ogos 2020 dan dua tangki dengan kapasiti 5,200 MT di Pelabuhan Klang, Selangor yang telah siap pada Februari 2020.

Kedua-duanya sedia untuk digunakan. 

Sementara itu, tambahan sembilan buah tangki lagi terletak di Tanjung Langsat, Johor berkapasiti 20,000 MT pula kini sedang dalam pembinaan dan dijangka siap sepenuhnya pada suku tahun ketiga 2021.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Haris Fadzilah Hassan berkata, penambahan tangki simpanan itu membuktikan kepakaran petugas kumpulan berkenaan mengendalikan produk-produk minyak sayuran dan bukan sayuran. 

Ia turut disokong oleh sistem pengkomputeran sepenuhnya, kawalan kualiti dan kuantiti yang ketat, langkah-langkah keselamatan selain kemudahan terima-simpan-hantar yang menyeluruh.

“FJB adalah salah sebuah terminal paling lengkap untuk mengendalikan pelbagai jenis simpanan serta keperluan pergerakan kargo. Melangkah ke hadapan, FGV merancang meluaskan lagi perniagaan simpanan pukal ke luar negara dan kami sedang meneroka pilihan terbaik yang ada,” kata Haris Fadzilah dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 2019, FJB mencatat sejarah apabila syarikat berkenaan menceburi bidang pengendalian kimia asas sejajar dengan strateginya dalam mengembangkan perniagaan kummpulan berkenaan selain daripada minyak sayuran. 

Menjelang 2021, FJB menyasarkan untuk mengendalikan lebih daripada 80,000 MT kimia asas setahun di kemudahan mereka di Tanjung Langsat, Johor berikutan peningkatan permintaan.

FJB juga mengendalikan dua gudang untuk penyimpanan dedak isirung sawit (PKE), tempurung isirung sawit (PKS), serta bijirin. 

Gudang berkenaan terletak di Pasir Gudang, Johor dan Kuantan, Pahang dengan masing-masing berkeluasan 252,683 kaki persegi dan 179,611 kaki persegi. 

Selain itu, sebuah gudang baharu berkeluasan 59,200 kaki persegi bagi kegunaan kargo kering juga bakal dibina di Pelabuhan Pasir Gudang dan dijangka siap pada tahun hadapan bagi memenuhi permintaan tempatan dan negara jiran.

FJB bertindak sebagai pusat sehenti bebas bagi simpanan dan pengendalian minyak sayuran, oleokimia, biodiesel, PKE, PKS, bijirin serta kimia asas menerusi kapal, lori tangki dan saluran paip di semua pelabuhan utama termasuk di Pasir Gudang, Tanjung Langsat, Pelabuhan Klang, Kuantan, Lahad Datu dan Sahabat di Malaysia manakala Palembang di Indonesia. - DagangNews.com