FGV tangguhkan terbitan bonus 365 juta saham keutamaan sehingga 13 Ogos 2024 | DagangNews Skip to main content

FGV tangguhkan terbitan bonus 365 juta saham keutamaan sehingga 13 Ogos 2024

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 13 Feb - Cadangan FGV Holdings Bhd menerbitkan bonus sehingga 364.82 juta saham keutamaan boleh tebus Islam (iRPS) baharu akan ditangguhkan memandangkan pemegang saham yang mengawalnya, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) meminta lebih masa untuk mendapatkan kelulusan Kabinet bagi pelaksanaan tersebut.

 

Terbitan bonus adalah berdasarkan satu saham keutamaan Islam bagi setiap 10 saham biasa dalam FGV.

 

Di bawah cadangan berkenaan, iRPS syarikat perladangan itu akan disebut harga dan disenaraikan secara berasingan di Pasaran Utama Bursa Malaysia, membolehkan pemegang saham berdagang saham keutamaan patuh syariah tersebut.

 

FGV dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata ia memohon lanjutan masa sehingga 13 Ogos 2024 untuk mengeluarkan pekeliling berhubung terbitan bonus itu.

 

Ia berkata Felda meminta FGV memohon lanjutan masa lagi untuk mengeluarkan pekeliling berhubung terbitan bonus itu.

 

Jelasnya, ini kerana ia masih dalam proses mendapatkan persetujuan daripada Menteri yang bertanggungjawab terhadap Felda dan Kementerian Kewangan, yang tertakluk kepada kelulusan Kabinet Malaysia.

 

Pada pukul 4:30 petang ini, harga saham FGV naik 3 sen atau 2.1% kepada RM1.46 sesaham, memberikannya permodalan pasaran berjumlah RM5.29 bilion dengan kira-kira 985,300 saham bertukar tangan.  - DagangNews.com