GWM HAVAL H6 HEV terima lebih 1,500 tempahan kurang sebulan pelancaran | DagangNews Skip to main content

GWM HAVAL H6 HEV terima lebih 1,500 tempahan kurang sebulan pelancaran

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 8 Nov - Kurang sebulan sejak pelancarannya, kenderaan utiliti sukan (SUV) Great Wall Motor (GWM) HAVAL H6 HEV, merekod lebih 1,500 unit tempahan dengan penghantaran sejumlah 200 unit model pemasangan tempatan (CKD) pertama berjaya dilaksanakan. 

 

Rekod jualan mengagumkan itu mencerminkan permintaan pasaran yang kuat dan minat yang mendalam di Malaysia, serta merupakan bukti komitmen GWM untuk memperluaskan kehadirannya di pasaran dan menyediakan rangkaian kenderaan berkualiti tinggi yang lebih mampu milik kepada pasaran tempatan.

 

Komitmen GWM terhadap strategi perniagaan jangka panjang berteraskan empat aspek iaitu Dibina Secara Tempatan, Dioperasikan Secara Tempatan, Disediakan Secara Tempatan dan Rangkaian Bekalan Terintegrasi, memperkukuhkan lagi capaian dan jualannya di peringkat global. 

 

Dengan barisan produk yang pelbagai untuk memenuhi keperluan pengguna global, GWM mencatatkan jualan luar negara sebanyak 122,700 unit, pertumbuhan sebanyak 39.85% bagi tahun 2024. 

 

Strategi berkenaan memperkukuhkan kejayaan jenama GWM HAVAL yang melepasi sembilan juta jualan kumulatif global, manakala GWM TANK mencapai lebih 500,000 jualan kumulatif menjelang S3 2024.

 

Untuk pasaran Malaysia, GWM HAVAL H6 HEV dijual pada harga RM139,800. 

 

Model itu tersedia dalam lima warna iaitu Energy Green, Ayers Silver, Crayon Grey, Hamilton White dan Sun Black. 

 

Dilengkapi dengan enjin turbo 1.5L yang menggabungkan tenaga elektrik dan petrol dengan teliti, SUV tersebut menawarkan kecekapan bahan bakar yang luar biasa dan prestasi yang kukuh, dengan gabungan kuasa 243 PS dan tork 530 Nm. 

 

Selain itu, teknologi Dedicated Hybrid Transmission (DHT) membolehkan pemandu merasai pecutan pantas 7.7 saat dari 0 hingga 100 km/j. 

 

SUV yang berorientasikan keluarga terbabit direka untuk memberikan prestasi optimum dan penjimatan bahan bakar, memberikan pengalaman luar biasa dalam setiap perjalanan.

 

Sebagai tanda penghargaan, GWM Malaysia menyediakan beberapa tawaran istimewa dan jaminan untuk pemilik GWM HAVAL H6 HEV antaranya, lima tahun penyelenggaraan percuma untuk mereka yang mendaftar GWM HAVAL H6 HEV pada 2024 termasuk alat ganti dan buruh.

 

Pemilik GWM sedia ada juga boleh menikmati diskaun tambahan sebanyak RM3,000. - DagangNews.com