FGV, terima sahajalah tawaran Felda - Penganalisis | DagangNews Skip to main content

FGV, terima sahajalah tawaran Felda - Penganalisis

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 9 Dis. - Isu antara Felda dan FGV Holdings Bhd. hampir menemui titik noktah apabila agensi itu semalam membuat tawaran untuk menjadikannya syarikat persendirian setelah ia disenaraikan pada 2012. 

 

Dengan tawaran harga RM1.30 sesaham, menjadikan keseluruhan pengambilalihan itu bernilai RM658 juta melibatkan 13.88% kepentingan yang dimiliki Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) dan Urusharta Jamaah Sdn. Bhd. 

 

Bagaimanapun, adakah langkah tersebut boleh mengembalikan semula momentum FGV setelah pelbagai kontroversi menimpa syarikat perladangan ini? 

 

Menurut penganalisis MIDF Research, Khoo Zhen Ye, terdapat banyak isu di peringkat struktur organisasi mengenai FGV yang sudah berlarutan terlalu lama. 

 

"Ini termasuklah pengurusan yang lemah hingga menyebabkan prestasi operasi semakin tidak efisien dan menjalankan aktiviti pengambilalihan dan penggabungan (M&A) yang menjejaskan nilai sahamnya. 

 

"Saham FGV setakat ini susut sehingga 72.1% daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) pada RM4.55 (ketika ia disenaraikan)," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Semalam, dalam notis kepada media, Maybank IB yang bertindak sebagai penasihat prinsipal mewakili Felda berkata, langkah tersebut membolehkan agensi berkenaan mempunyai kawalan ke atas tanah ladang dan rantaian bekalan bersepadu FGV dan anak syarikatnya (Kumpulan FGV). 

 

Secara tidak langsung, ia akan membuka kerjasama yang lebih baik antara FGV dan Felda dan menyediakan Felda kepada akses aktiviti hiliran yang dijalankan FGV.

 

Jelas Zhen Ye, sekiranya tawaran ambil alih mandatori (MO) ini tidak direalisasikan, pembatalan perjanjian pajakan tanah (LLA) dan mengambil alih semua kilang milik FGV tetap akan menjejaskan pertumbuhan pendapatan FGV pada masa hadapan. 

 

"Dalam masa sama, tawaran ambil alih ini juga dilihat satu peluang kepada pelabur untuk keluar daripada syarikat (FGV) dan beralih kepada syarikat perladangan lain yang disenaraikan. 

 

"Langkah ini membolehkan mereka meraih pendapatan berkualiti dan juga menikmati hasil tandan buah segar (TBS) yang lebih baik dengan lebih kos efisien kepada peladang sawit. 

 

"Melihat kepada semua faktor ini, kami berpendapat lebih baik pelabur menerima tawaran yang diberikan Felda ini," katanya.  

 

Beliau berkata, apabila Felda menamatkan perjanjian pajakan tanah (LLA), ia akan menyebabkan bank tanah FGV menyusut sehingga 80% kepada 89,000 hektar berbanding 439,700 hektar dan ini membiarkan FGV beroperasi dengan industri hiliran sahaja. 

 

"Tanpa kilang juga (yang akan diambil Felda), masa depan FGV juga akan terjejas. Jadi, MO yang dibuat Felda ini, merupakan antara pilihan terbaik kepada FGV," katanya.  

 

Setakat 11.10 pagi, saham FGV susut 1.57% kepada RM1.25 sesaham dengan nilai pasaran modal berjumlah RM4.32 bilion. 

 

Harga saham FGV mencecah paras terendah, 71.5 sen pada Mac 2020 apabila harga minyak sawit mentah terjejas akibat pandemik COVID-19. 

 

Pada 30 Oktober lalu, Felda membuat keputusan bukan sahaja menamatkan LLA tetapi turut mengambil alih kilang sawit milik syarikat itu bagi melengkapkan rantaian perniagaan, sekali gus mengukuhkan kembali kedudukan kewangan agensi itu.

 

Keputusan itu yang bertujuan meningkatkan pendapatan teras daripada tanah Felda, adalah antara 6 perkara dicadangkan Pasukan Petugas Khas yang sudah dibentang dan mendapat kelulusan Kabinet pada 14 Oktober lalu. 

 

Pengerusi Felda, Datuk Seri Idris Jusoh sebelum ini berkata, pendapatan Felda daripada keuntungan operasi ladangnya mula merosot sejak 2012 selepas FGV disenaraikan di Bursa Malaysia. 

 

FGV hanya merekodkan keuntungan RM16.51 juta pada 2019 dan jumlah itu, jauh berbeza daripada yang pernah dicatatkan Felda dengan rekod tertinggi pada 2011, iaitu RM1.85 bilion.

 

Sementara itu, penganalisis CGS-CIMB, Ivy Ng menyifatkan, FGV akan kembali kepada asal sekiranya langkah Felda menjadikannya syarikat persendirian menjadi kenyataan. 

 

Firma penyelidikan itu dalam analisis sebelum ini telah menekankan bahawa pembelian saham-saham yang tidak dimiliki Felda dalam FGV adalah lebih murah berbanding membatalkan LLA. 

 

Dalam penilaian FGV, syarikat itu menganggarkan ia akan menerima pampasan antara RM3.5 hingga RM4 bilion dan ini tidak termasuk kilang sawit yang mungkin bernilai RM1 bilion (pukal). 

 

"Tetapi anggaran kami, sekiranya Felda mengambil alih kesemua saham yang tidak dimilikinya, ia hanya bernilai RM3.1 bilion, berdasarkan harga tawaran RM1.30 sesaham. 

 

"Kejayaan Felda mengambil alih FGV sebahagian besarnya bergantung kepada kadar ambilan bagi tawaran am mandatori (MGO). 

 

"Kami juga melihat tawaran ini sebagai tidak menarik kepada pemegang saham FGV. Pada harga tawaran RM1.30, ia adalah 3% lebih rendah daripada harga sasaran kami dan hanya 2% premium daripada harga penutupan terakhir FGV (ditutup pada RM1.27 semalam)," katanya. 

 

Bagaimanapun, menurutnya, ia secara dasarnya merupakan pilihan yang baik kepada pemegang saham FGV jika dibandingkan dengan harga sahamnya yang terjejas teruk ekoran kebimbangan penamatan LLA dan perbalahan mengenai terma pampasan.  

 

"Urus niaga ini juga lebih menguntungkan Felda berbanding pemegang saham FGV. Namun, tawaran ini membolehkan pemegang saham FGV keluar daripada kedudukan mereka ketika ini," katanya. 

 

Ivy berkata, sebagai sebahagian daripada pelan transformasi Felda untuk menjadi lebih berdaya mapan dari segi kewangan, agensi itu telah membuat pertimbangan dengan menamatkan LLA (termasuk kilang sawit) dan mengambil alih FGV. 

 

"Berdasarkan khidmat nasihat kewangan dan perundangan, Felda mendedahkan bahawa tawaran pengambilalihan ini adalah langkah paling efektif dan berkesan bagi memastikan kelestarian agensi tersebut," katanya. - DagangNews.com