FGV tolak Syed Mokhtar, Felda kini miliki 73.88% pegangan | DagangNews Skip to main content

FGV tolak Syed Mokhtar, Felda kini miliki 73.88% pegangan

 

 

KUALA LUMPUR 9 Mac - FGV Holdings Bhd (FGV) secara rasmi menolak tawaran dari Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary untuk menyuntik aset perladangan dalam syarikat itu bagi mendapatkan saham baharu. 

 

Hartawan itu membuat tawaran kepada FGV pada 12 Oktober 2020 lalu menerusi Perspective Lane (M) Sdn Bhd (PLSB). 

 

Bagaimanapun, dalam makluman kepada Bursa Malaysia, FGV memaklumkan, tidak merancang meneruskan cadangan PLSB untuk muncul pemegang saham terbesarnya.

 

"Cadangan ini tidak akan diteruskan berikutan pengambilalihan mandatori tanpa syarat daripada Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) bagi pihak Felda untuk mengambil alih semua baki saham biasa dalam FGV yang tidak dipegang oleh pembuat tawaran dan pihak terbabit yang bertindak secara bersama," katanya semalam.

 

Pada 15 Oktober 2020, syarikat perladangan itu mendedahkan ia telah menerima sepucuk surat daripada PLSB yang menyatakan minat menjadi pemegang saham menerusi suntikan aset perladangan ke dalam FGV bagi pertimbangan mendapatkan kepentingan saham.

 

Sekiranya perjanjian itu dipertimbangkan, PLSB berpotensi menjadi pemegang saham tunggal terbesar.

 

Dalam pada itu, Felda dalam satu makluman berasingan kepada Bursa Malaysia semalam, turut menyatakan ia telah membeli dua juta lagi saham dalam FGV daripada pasaran terbuka pada RM1.30 sesaham.

 

Maybank IB yang merupakan penasihat prinsipal kepada Felda berhubung tawaran pengambilalihan bagi saham FGV itu berkata, Felda membuat pembelian itu pada 5 Mac lalu.

 

Ini menjadikan pegangan Felda dalam FGV meningkat kepada 73.88% selepas membeli lagi saham dalam pasaran terbuka dan menerusi tawaran langsung. - DagangNews.com