Firefly ganti Malaysia Airlines sebagai syarikat penerbangan nasional? | DagangNews Skip to main content

Firefly ganti Malaysia Airlines sebagai syarikat penerbangan nasional?

KUALA LUMPUR 14 Okt. - Persoalan sekiranya operasi Malaysia Airlines Berhad (MAB) akan diteruskan, kini bergantung kepada rundingan syarikat penerbangan itu dengan pemajak serta peminjam hutang. 

Pemegang saham tunggal MAB, Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) sebelum ini dilaporkan akan menghentikan suntikan dana kepada MAB sekiranya rundingan itu gagal, sekali gus terpaksa ditutup. 

Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Shahril Ridza Ridzuan mendedahkan pelbagai alternatif yang dinilai, ini termasuklah menamatkan pembiayaan MAB dan sebaliknya mengangkat Firefly Sdn. Bhd. sebagai syarikat penerbangan nasional. 

Itu merupakan pertimbangan terakhir sekiranya rundingan MAB dan pihak pemiutang serta pemajak tidak berjaya. 

 

Datuk Shahril Ridza Ridzuan
Shahril Ridza Ridzuan

 

“Sekiranya dilaksanakan dengan jaya, Firefly berpotensi untuk menjadi syarikat penerbangan kebangsaan.

"Apa-apa pun, syarikat penerbangan yang dipilih mestilah mempunyai kewangan yang mampan supaya ia dapat menghasilkan pulangan,” katanya menurut laporan Berita Harian. 

Syarikat induk MAB, Malaysia Aviation Group (MAG) mendedahkan bahawa kumpulannya tidak mampu membayar hutang kecuali menerima suntikan dana daripada Khazanah. 

Menerusi sekeping surat yang dihantar kepada pemiutang dan pemajak, MAG berhasrat untuk mendapatkan potong lebih pada harga pesawat daripada penyewanya sebagai sebahagian daripada rancangan penyusunan semula besar-besaran. 

Baca : Malaysia Airlines perlu suntikan dana

Jelas MAG, berdasarkan kedudukan kewangan semasa dan tanpa dana daripada pemegang saham, syarikatnya tidak mampu membayar hutang selepas November 2020.

"Sekiranya Khazanah terus membiayai Malaysia Airlines yang tidak mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh dan sering mengalami kerugian, Khazanah akan terpaksa melupuskan pegangannya dalam aset strategik yang lain atau menambah hutang,” tambah Shahril Ridza dalam laporan sama. 

Shahril Ridza tidak menafikan terdapat pihak berkepentingan yang terkesan sekiranya Firefly menjadi syarikat penerbangan negara, tetapi beliau memberi jaminan bahawa pihaknya akan mengambil langkah untuk mengurangkan impak negatif.

Menurut laporan Reuters, MAB telah mencatatkan kerugian hampir sedekad lalu, dan keadaan itu bertambah teruk apabila tragedi MH370 dan MH17 berlaku. 

Pada tahun 2014, sayap pelaburan dana negara, Khazanah menjadi pemegang saham tunggal MAG dengan nilai penstrukturan AS$1.5 bilion dan pemotongan staf sehingga 30% atau 6,000 orang. - DagangNews.com